KDN masih tunggu laporan penuh siasatan kehilangan Amri, Raymond Koh

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu laporan penuh daripada pasukan petugas khas berhubung siasatan kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, pasukan yang ditubuhkan pada Jun lepas itu sepatutnya menyiapkan laporan penuh dalam tempoh 6 bulan seperti ditetapkan ketika penubuhannya.

“Sepatutnya mereka sudah selesai dan laporan itu diserahkan kepada saya untuk tindakan lanjut. Sehingga itu, saya tidak boleh umumkan apa hasil siasatan,” katanya pada sidang media selepas melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Bencana Pantai Timur hari ini.

Pada 26 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas melibatkan 6 anggota yang bertanggungjawab meneliti kes kehilangan paksa dua individu terbabit, diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi Abd Rahim Uda.

Pasukan itu memfokuskan dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kehilangan Amri dan Raymond masing-masing pada 24 Nov, 2016 dan 13 Feb, 2017 disebabkan penglibatan Cawangan Khas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kementerian memandang serius dakwaan kemungkinan warga China yang terlepas daripada serbuan pihak berkuasa di Cyberjaya sebelum ini kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian memulakan jenayah serupa di negeri lain.

Beliau berkata keadaan itu memberi gambaran seolah-olah kecenderungan warga China datang dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk melakukan jenayah siber, penipuan dalam talian dan judi haram.

“Kita pandang serius perkara ini dan jika ada bukti mereka sudah berpindah-randah untuk melakukan aktiviti jenayah, tindakan tegas harus diambil segera,” katanya.

Mengikut laporan media, sekumpulan 40 warga China ditahan pihak Imigresen Perak di sebuah banglo elit di Taman Gopeng, Ipoh semalam di mana 2 daripadanya dipercayai melarikan diri daripada serbuan imigresen di Cyberjaya pada 20 Nov lepas.

Dalam serbuan di bangunan 6 tingkat di Cyberjaya itu, imigresen menahan 680 warga China kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, manakala lebih 100 orang berjaya melarikan diri.

Mengenai misi bantuan itu, Muhyiddin berkata, 38 sukarelawan bersama 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terlibat memberi bantuan pasca banjir kepada penduduk di Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan serta Besut, Terengganu.