Kes 4 dituduh berkait LTTE pindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memindahkan kes 4 individu yang ditahan bawah undang-undang keselamatan kerana didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke Mahkamah Tinggi.

Empat individu berkenaan A Kalaimughilan, yang diwakili Yoges M Verasuntharam; V Suresh Kumar dan Adun DAP, M Gunasekaran, yang diwakili Ramkarpal Singh; dan ahli perniagaan B Subramaniam, yang diwakili S Selvam.

Semasa Kalaimughilan memohon ikat jamin atas sebab kesihatan, Hakim Rozina Ayob menolaknya, mengatakan mereka semua patut mohon ikat jamin di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Aslinda Ahad memberitahu mahkamah ikat jamin hanya patut diberikan sekiranya defenden sangat uzur.

Rozina kemudian berkata permohonan ikat jamin lebih cepat ditentukan di Mahkamah Tinggi kerana ia boleh mengambil masa 12 hari di Mahkamah Sesyen.

“Demi keadilan untuk semua pihak, mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan ikat jamin didengar di sana,” katanya.

Empat individu berkenaan bersama 8 yang lain dituduh di Mahkamah Sesyen berbeza pada 29 dan 31 Okt atas pertuduhan berkaitan kumpulan militan Sri Lanka.

Mereka ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma susulan tindakan keras pada Oktober terhadap orang-orang yang didakwa pesimpati LTTE.