Khaled Nordin tepis laporan tak pelawa MCA, MIC sertai Muafakat Nasional

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin hari ini menepis laporan yang memetik penganalisis menjangkakan MCA dan MIC tidak akan dipelawa sertai Muafakat Nasional, kerjasama yang terbentuk antara Umno dan PAS pasca pilihan raya umum ke-14.

Khaled berkata penganalisis berkenaan, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya tidak mempunyai maklumat sahih berkaitan strategi dan pelan tindakan Muafakat Nasional.

Beliau berkata pandangan sedemikian tidak berasas dan tidak tepat, serta sama sekali tidak menggambarkan realiti dan fakta sebenar.

“Ia hanyalah andaian mereka semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khaled berkata pihak terbaik untuk dirujuk berhubung isu itu adalah MCA dan MIC sendiri, yang mempunyai maklumat sahih dan berkredibiliti.

“Janganlah sampai membuat kesimpulan peribadi yang bersifat andaian kosong yang sangat terpesong, tidak benar dan mengelirukan semua pihak,” katanya.

Khaled menegaskan Umno dan PAS akan menjayakan Muafakat Nasional dengan cara terbaik dan mampu diterima semua, termasuk MCA dan MIC.

“Semua pihak akan duduk, berbincang dan bermuafakat demi kepentingan nasional. Ini bukan misi solo mana-mana parti. Ia akan dijayakan dengan kaedah dan pendekatan terbaik demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan, Azmi berkata, status quo yang meletakkan 2 parti komponen itu di luar MN ialah strategi politik terbaik ketika ini.

Menurutnya, MIC sudah mengumumkan pendiriannya tiada masalah dengan penerimaan MN secara rasmi, tetapi MCA dilihat tidak mahu terikat dengan kerjasama Umno-PAS.

Manakala, Awang Azman pula berkata, Zahid perlu memikirkan reaksi MCA dan MIC, jika beliau mahu menginstitusikan gagasan kerjasama Umno-PAS itu. Baginya, belum tentu pengundi Cina dan India bersetuju secara keseluruhannya.

Azmi dan Awang Azman berkata demikian mengulas kenyataan ketua Pemuda Umno pada perhimpunan agung parti itu minggu lalu, menggesa Muafakat Nasional dijadikan institusi seperti BN yang dianggotai pelbagai parti.