MSN bertanggungjawab atas kegagalan capai sasaran Sukan SEA

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail. (Gambar Bernama)

NEW CLARK CITY: Majlis Sukan Negara (MSN) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan atlet negara mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30, kata Ketua Pengarah Ahmad Shapawi Ismail.

“Pihak MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan kontinjen kita pada kali ini,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 hari ini.

Prestasi sukan yang disasarkan untuk menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Filipina juga mengecewakan.

Beliau mendedahkan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas menyumbang kutipan 50 emas pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Kegagalan beberapa sukan seperti pelayaran, memanah, tenpin boling, luncur ais dan sukan berhalangan meraih emas menjejaskan kutipan keseluruhan pingat emas, katanya lagi.

Dalam pada itu, Shapawi memuji beberapa sukan yang mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menyumbang pingat emas pada kali ini.

Sukan-sukan berkenaan gimnastik artistik dan berirama yang menjadi penyumbang tertinggi dengan kutipan 9 emas, olahraga (5 emas), terjun, karate dan boling padang (masing-masing 4 emas), badminton (3 emas), selain e-sukan yang menyumbang 1 emas dalam permainan “Hearthstone” walaupun membuat penampilan sulung pada Sukan SEA kali ini.

Beliau mengakui 4 jenis sukan yang kurang diberi perhatian, iaitu snuker dan billiard, dancesport, catur, papan selaju menyumbang 1 emas, selain wushu dengan kutipan 2 emas walaupun tidak disenaraikan dalam sasaran awal kontinjen negara.

“Sebanyak 6 pingat emas diperoleh dari sukan-sukan yang tidak ditetapkan sasaran awal. Kemampuan sukan-sukan ini untuk menyumbang pingat emas membanggakan kontinjen negara,” katanya.

Pada masa sama, Shapawi memuji prestasi luar biasa yang ditampilkan beberapa atlet negara pada kali ini, termasuk Muhammad Haiqal Hanafi, Andre Anura Anuar, Farah Ann Abdul Hadi dan Loh Choon How yang menjadi antara penyumbang kutipan emas tertinggi.

Muhammad Haiqal ditabalkan selaku Raja Pecut Asia Tenggara yang baru selepas mengungguli acara 100m lelaki dengan catatan 10.35 saat, manakala Andre Anura pula mencatat rekod baharu kebangsaan acara lompat jauh dengan catatan 8.02m, sekaligus memadam rekod terdahulu, 7.88m yang dilakar Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand.

Farah Ann pula menepati status ratu gimnastik Asia Tenggara selepas memperolehi 3 emas dalam gimnastik artistik, manakala Loh membawa pulang 2 emas dalam acara wushu walaupun tidak diletakkan sebagai sasaran emas.

Dalam perkembangan sama, Shapawi berkata, tumpuan akan terus diberikan untuk memperkasakan program pembangunan atlet pelapis menerusi sistem latihan yang lebih sistematik untuk persiapan jangka panjang menghadapi beberapa temasya sukan pada masa akan datang.

“Oleh itu, pengurusan MSN akan mempergiatkan program pelapis di pelbagai peringkat dan semua persatuan sukan yang terlibat, diminta untuk merangka program latihan yang lebih baik dan berstruktur,” kata Shapawi.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Megat Zulkarnain Omardin dan timbalan Nurul Huda Abdullah, serta Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Nazifuddin Mohd Najib.

Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga ke-5 keseluruhan.

Tuan rumah, Filipina muncul juara buat kali ke-2 selepas edisi 2005 di Manila selepas mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105), manakala Thailand menduduki tangga ketiga (92-103-123).

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di 3 kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City malam ini.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021.