Najib jelaskan pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd hari ini bahawa dia dimaklumkan syarikat itu mahukan pinjaman RM2 bilion lagi kerana tidak mempunyai cukup dana untuk beroperasi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau diberitahu bahawa SRC International mahu menggunakan RM2 bilion pertama yang dipinjam daripada daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk “tujuan pelaburan”.

“Pinjaman kedua diperlukan kerana SRC International menjalankan aktiviti selaras dengan dasar tenaga negara, dan untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap industri minyak dan gas,” katanya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa KWAP meminjamkan SRC International RM2 bilion pada Ogos 2011 dan RM2 bilion lagi pada Februari 2012. Kedua-dua pinjaman itu dijamin oleh kerajaan.

Apabila ditanya oleh Peguam Negara Tommy Thomas sama ada beliau sebagai menteri kewangan ketika itu, meminta syarikat tersebut menjelaskan kenapa memerlukan RM2 bilion lagi, Najib berkata SRC International menerima tranche pertama selepas kira-kira tujuh bulan.

“Mereka memberitahu mempunyai rancangan segera untuk tujuan pelaburan. Saya tidak bertanya soalan lanjut,” katanya, sambil menambah beliau menandatangani jaminan kerajaan kedua kerana Ahmad Husni Hanadzlah, menteri kewangan kedua, tiada ketika itu.

Husni menandatangani jaminan kerajaan pertama pada bulan Ogos 2011.

Thomas bertanya sama ada Najib bersetuju telah “melakukan tindakan salah” dengan menandatangani jaminan kedua itu tanpa memeriksa apa yang berlaku pada dana pertama. Najib menjawab beliau tidak bersetuju.

Apabila ditanya sama ada RM2 bilion pertama boleh disalah guna, Najib berkata beliau tidak dimaklumkan tentang perkara itu oleh pengarah syarikat.

“Saya menganggap lembaga itu harus melakukannya. Itu tugas fidusiari mereka,” tambahnya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan keterangan pegawai Perbendaharaan, Afidah Azwa Abdul Aziz, yang mengatakan SRC International adalah “syarikat perdana menteri” dan dia mendakwa ditekan untuk menyegerakan dokumen yang relevan supaya Kabinet boleh membuat keputusan mengenai jaminan kedua kerajaan.

“Tiada apa yang mengatakan bahawa saya memiliki syarikat itu,” katanya.

Najib juga berkata hanya “lama kemudian” baru beliau menyedari RM1.8 bilion daripada akaun bank syarikat itu dipindahkan ke Falcon Private Bank dan Julius Baer Group AG di Hong Kong.

“Bukan keputusan saya meletakkan wang di sana,” katanya.

Perbicaraan itu diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana RM42 juta milik SRC International yang dipindahkan ke akaunnya.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada KWAP.