P Pinang lulus rancangan struktur 2030, termasuk projek 3 pulau buatan

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (2 dari kiri) bersama Pemangku Pengarah Penang Plan Malaysia, Mohd Bashir Sulaiman (2 dari kanan), Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Razak Jaafar (kanan), dan Exco Jagdeep Singh Deo.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan Rancangan Struktur (RSN) Pulau Pinang 2030 diluluskan, yang merangka strategi dan dasar pembangunan negeri dari 2020 hingga 2030.

Chow berkata RSN, yang mengambil kira pandangan dan bantahan awam sejak tahun lalu, kini sah di sisi undang-undang. Katanya, RSN diwartakan pada 24 Okt, selepas majlis mesyuarat kerajaan negeri meluluskannya.

RSN termasuk projek pulau selatan Pulau Pinang dan tebus guna tanah di Seri Tanjung Pinang, Persiaran Gurney dan kawasan Queensbay.

Pada sidang media hari ini, Chow berkata RSN boleh dikaji semula setiap 5 tahun bagi mengambil kira permintaan pasaran dan faktor-faktor lain.

Beliau berkata rancangan tempatan itu – yang menentukan apa yang boleh atau tak boleh dibina di satu-satu kawasan – akan tersedia tahun depan.

Pada sidang media sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata akan ada 2 rancangan tempatan iaitu untuk Pulau Pinang dan Seberang Perai.

beliau berkata rancangan tempatan untuk Seberang Perai dijangka diterbitkan pada Jun 2020 manakala rancangan bagi pulau pula akan diterbitkan pada Disember 2020.

Ditanya kenapa rancangan tempatan tertangguh, Chow berkata rancangan itu biasanya menyusuli RSN, yang merupakan pelan pembangunan induk.

Memandangkan RSN baru sudah diterbitkan, semua rancangan tempatan mesti ikut strategi dalam RSN itu.

Ditanya adakah Pulau Pinang pernah ada rancangan tempatan, Chow berkata tidak. “Tak pernah ada satu rancangan tempatan,” katanya.

Mengenai cadnagan oleh pemaju swasta bagi menebus guna sebuah pulau berdekatan Batu Ferringhi, beliau berkata belum ada kata putus dan masih di peringkat cadangan.

Undang-undang persekutuan menghendaki semua negeri mengemukakan suatu rancangan struktur yang akan membentangkan rancangan ruangan untuk negeri.

Ia merangka rancangan pembangunan negeri bagi tempoh 10 tahun dan antara lain akan memberi kesan pada kepadatan dan di mana rumah boleh dibina.

Ia boleh dikaji semula setiap 5 tahun. RSN sebelum diwartakan pada 28 Jun 2007 dan masih digunakan hingga hari ini.