Perogol fail rayuan hukuman mati atas alasan pencemaran

Akshay Kumar Singh ialah defendan terakhir daripada 4 individu yang dijatuhkan hukuman mati dalam kes merogol dan membunuh seorang wanita berusia 23 tahun dalam bas di New Delhi pada Disember 2012.

NEW DELHI: Seorang daripada 4 lelaki yang dijatuhkan hukuman mati kerana terbabit dalam satu kes bunuh selepas rogol berkumpulan pada 2012 memfailkan rayuan terhadap hukuman itu semalam atas alasan pencemaran.

Akshay Kumar Singh ialah seorang daripada sekumpulan lelaki yang merogol seorang wanita berusia 23 tahun dalam sebuah bas di ibu negara India pada lewat malam Disember 7 tahun lalu.

Kematian gadis itu – 12 hari kemudian akibat kecederaan parah dalaman – membawa kepada tunjuk perasaan di negara itu dan kebimbangan global sehingga ia menjadi sinonim dengan kadar tinggi keganasan seksual terhadap wanita di India.

Lelaki berusia 31 tahun itu menerusi petisyen semakan kepada Mahkamah Agung berkata, kualiti udara di New Delhi seperti “bilik gas” dan airnya “dipenuhi racun”.

“Semua orang tahu apa yang berlaku di Delhi-NCR (wilayah ibu negara) berhubung udara dan air. Jangka hayat akan jadi singkat, jadi kenapa jatuhkan hukuman mati?” katanya dalam petisyen itu.

Akshay yang merupakan defendan terakhir daripada 4 individu dijatuhkan hukuman mati dalam kes itu, memfailkan petisyen semakan di mahkamah tertinggi India, tetapi ia dijangka ditolak mahkamah.

Menurut laporan media minggu ini, lelaki terbabit mungkin digantung sebelum akhir tahun ini atau pada 16 Dis ini – ulang tahun serangan itu.

Ada laporan menyatakan Penjara Tihar di mana perogol dan pembunuh itu dipenjarakan, mengadakan latihan untuk pelaksanaan hukuman mati itu bagi menguji kerangka gantungan dengan tali khas yang dibawa dari kawasan lain.

Bagaimanapun, pegawai di Penjara Tihar memberitahu AFP, mereka tidak tahu mengenai persiapan itu.

Delhi diselubungi jerebu toksik selama beberapa bulan setiap musim sejuk dan pakar mendakwa keadaan itu memendekkan jangka hayat 20 juta penduduknya.

Bulan lalu, protes berlangsung dan kerajaan digesa melaksanakan pembaharuan ke atas sistem perundangan yang lembab di negara itu selepas seorang lagi wanita India menjadi mangsa rogol berkumpulan sebelum dibunuh.