Putrajaya mungkin jual saham Petronas kepada Sabah, Sarawak, kata PM

Putrajaya mungkin jual saham Petronas kepada Sabah, Sarawak, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak dapat mengotakan janji PH menaikkan royalti minyak kepada 20% bagi 2 negeri pengeluar minyak di Malaysia Timur itu.

Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan tidak mungkin menaikkan royalti minyak dariapda 5% kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak kerana pembayaran lebih tinggi akan ‘membunuh’ Petronas. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan penjualan saham Petronas kepada Sabah dan Sarawak kerana ia tidak mampu memenuhi tuntutan menaikkan royalti yang dibayar syarikat minyak negara itu daripada 5% kepada 20%.

“Petronas ialah sebuah syarikat yang sangat besar, ia bergantung kepada berapa banyak (negeri itu) boleh bayar juga,” kata perdana menteri kepada Reuters.

Sabah dan Sarawak memiliki lebih 60% rizab minyak negara.

Mahathir berkata, kerajaan juga boleh melepaskan kepentingannya dalam unit lebih kecil Petronas.

“Apa yang kita perlukan ialah mengurangkan pembabitan kita, jumlah saham yang kita miliki, untuk mengumpul sedikit dana bagi diri kita.”

Pada 7 Dis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilaporkan berkata, ia tidak dapat membayar 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak dan gas kerana kos pengeluaran tinggi dan margin keuntungan rendah.

Katanya, Petronas yang merupakan sumber pendapatan terbesar Putrajaya, hanya menjana 3.7% keuntungan daripada pengeluaran minyak tempatan, dengan 70% hasil minyak digunakan untuk kos pengeluaran, yang mana ia lebih tinggi jika membabitkan pengeluaran di perairan sangat dalam.

Pakatan Harapan menerusi manifesto pilihan raya umum tahun lalu berjanji akan menaikkan royalti minyak yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak daripada 5% kepada 20%.

Mahathir dilaporkan berkata, ia tidak mungkin menaikkan kadar royalti itu kerana pembayaran lebih tinggi akan “membunuh” syarikat minyak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.