Rohingya: Suu Kyi ketuai pembelaan Myanmar di Mahkamah Dunia

Penerima Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi. (Gambar Reuters)

THE HAGUE: Penerima Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi akan mengetuai pembelaan Myanmar di Mahkamah Dunia hari ini, di mana negaranya berdepan tuduhan penghapusan bangsa terhadap kaum minoriti, Rohingya yang beragama Islam.

Gambia, sebuah negara kecil di Afrika Barat, melancarkan kes terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mendakwa ia sudah menyalahi Konvensyen Genosid 1948.

Suu Kyi, pemimpin politik utama Myanmar, mengejutkan pengkritik dan mengembleng penyokong di negaranya dengan terbang ke Hague bagi mengetuai delegasi negaranya. Pejabatnya berkata beliau ke sana untuk “pertahankan kepentingan negara”.

Suu Kyi semalam mendengar testimoni terperinci penderitaan Rohingya di tangan tentera Myanmar daripada peguam mewakili Gambia.

Dalam perbicaraan 3 hari minggu ini, hakim-hakim mendengar fasa pertama kes itu, iaitu permintaan Ghana meminta “langkah-langkah sementara” atau perintah sekatan terhadap Myanmbar bagi melindungi penduduk Rohingya sehingga kes dibicarakan secara penuh.

Walaupun Suu Kyi tidak mendedahkan butiran pembelaan kerajaannya, beliau dan pasukan peguamnya dijangka berhujah mahkamah tiada bidang kuasa, dan tiada penghapusan bangsa berlaku di Myanmar.

Gambia berhujah setiap negara bertanggungjawab mengikut konvensyen 1948 untuk menghalang penghapusan bangsa daripada berlaku. Gambia mendapat sokongan politik Pertubuhan Kerjasama Islam, serta beberapa negara Barat termasuk Kanada dan Belanda.

Lebih 730,000 orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tentera melancarkan tindakan keras di negeri Rakhine pada Ogos 2017. Kebanyakan mereka kini tinggal di kem-kem pelarian yang sesak di Bangladesh.

Myanmar berhujah “operasi pembersihan” tentera di Rakhine respon yang wajar terhadap tindakan keganasan, dan askar-askarnya bertindak dengan sewajarnya.

Ambang undang-undang untuk mendapati penghapusan bangsa adalah tinggi. Hanya 3 kes yang diperakui mengikut undang-undang antarabangsa sejak Perang Dunia Ke-2 iaitu di Kemboja pada 1970-an, di Rwanda pada 1994 dan di Srebrenica, Bosnia pada 1995.

Walaupun misi pencarian fakta PBB mendapati “jenayah paling teruk mengikut undang-undang antarabangsa” dilakukan di Myanmar dan menyeru perbicaraan penghapusan bangsa, tiada mahkamah menimbangkan keterangan dan memutuskan ada penghapusan bangsa di Myanmar.

Ditanya mengenai kemungkinan Suu Kyi akan menafikan kekejaman ada berlaku di Myanmar, Menteri Kehakiman Gambia, Abubacarr Tambadou di luar mahkamah kelmarin berkata: “Sangat mengecewakan kalau dia buat begitu sekali lagi.”