Senator dakwa pemimpin MTUC manipulasi kenyataan selepas pertemuan

Presiden MSM, Khairudin Samad (tengah, duduk) mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Majlis Senator Malaysia (MSM) mendakwa pemimpin tertinggi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memanipulasi kenyataan mereka dalam pertemuan kelmarin.

Presiden MSM, Khairudin Samad berkata, beliau tidak pernah menyuarakan sokongan atau bantahan terhadap usaha terakhir MTUC menghalang Rang Undang-undang Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLR).

Katanya, beliau terkejut melihat laporan media tanpa menghubunginya terlebih dahulu.

“Kita tak ada kata kita tak menyokong ke akan menyokong ke.

“Kita cuma cakap dalan pertemuan itu, kalau kita nak selesai cara rundingan, kita berunding.

“Yang saya sebut, setiap kali MTUC keluar (kenyataan), (mereka) akan hentam negara kita (dan) beri kesan ekonomi negara. Yang tu saya sebut,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, media melaporkan delegasi MTUC yang diketuai Presidennya, Abdul Halim Mansor dan Setiausaha Agungnya, J Solomon menemui MSM kelmarin dalam usaha terakhir untuk menghalang RUU LLR.

Khairudin dilaporkan berkata, mereka mendapati ada peruntukan tertentu dalam RUU itu yang boleh menjejaskan pekerja.

Katanya, beliau akan menggesa senator membangkitkan bantahan MTUC apabila RUU itu dibentangkan di Dewan Negara minggu depan, tetapi beliau mengingatkan MTUC akan mendapati matlamatnya sukar dicapai kerana Dewan Negara kini dikuasai senator Pakatan Harapan.