Serangan di pangkalan tentera laut Florida: 300 pelajar penerbangan ketenteraan Arab Saudi direhatkan

Latihan penerbangan yang sepatutnya dijalani 300 pelajar penerbangan ketenteraan Arab Saudi di pangkalan tentera laut Florida ditangguhkan. (Gambar AP)

WASHINGTON: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) menangguhkan latihan penerbangan yang sepatutnya dijalani sejumlah 300 pelajar penerbangan ketenteraan Arab Saudi di pangkalan tentera laut Florida susulan insiden tembakan sehingga membawa kematian minggu lepas di bandar Pensacola, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik pelbagai laporan semalam.

Dalam insiden itu, 3 kelasi telah dibunuh pada Jumaat lalu oleh Mohammed Alshamrani, seorang leftenan muda dalam Angkatan Tentera Udara Diraja Arab Saudi yang merupakan pelatih di Naval Aviation Schools Command.

Penembak turut mencederakan 8 yang lain sebelum ditembak mati oleh seorang timbalan syerif.

Menurut Fox News, yang memetik kenyataan Komander Tentera Laut Clay Doss, kelas dan latihan penerbangan akan disambung semula untuk pelajar lain minggu ini.

Doss bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut bila tempoh rehat pelajar terbabit ditamatkan.

Stesen Udara Tentera Laut Pensacola, Stesen Udara Tentera Laut Whiting Field dan Stesen Udara Tentera Laut Mayport dilaporkan adalah pangkalan yang terlibat.

Menurut The Hill, kira-kira 850 pelajar ketenteraan Arab Saudi kini menerima latihan di AS.

Sejurus selepas insiden tembakan itu, ahli kongres Republikan Florida Matt Gaetz berkata perkara tersebut membuktikan bahawa terdapat “satu kegagalan serius” dalam proses tapisan dan cara AS menjemput pelatih ke dalam komunitinya.

“Saya kini bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan, Jabatan Negara dan Keselamatan Dalam Negeri bagi memastikan bahawa terdapat tapisan ketat terhadap orang yang datang ke negara kita dan berlatih di pangkalan tentera kita,” kata Gaetz di Twitter.

“Ini bukan satu pembunuhan. Ini adalah satu tindakan keganasan.”

Setiausaha Pertahanan Mark Esper pada Sabtu lalu bagaimanapun menolak untuk melabel insiden tembakan itu sebagai keganasan.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa ia adalah tindakan keganasan buat masa ini,” katanya di Forum Pertahanan Negara Ronald Reagan di California.