Skodeng orang mandi bukan punca ketumbit!

Setiap kali tumbuh ketumbit pada kelopak mata, mesti akan ada kawan yang bergurau dengan menuduh anda “skodeng” orang mandi kan?

Ini adalah satu kepercayaan yang mengarut!

Hakikatnya, sudah pasti bukan itu penyebabnya.

Jadi, apakah yang menyebabkan ia muncul lalu mengganggu keselesaan anda?

Apa itu ketumbit?

Ketumbit adalah benjolan kecil seperti seketul jerawat kecil yang muncul di sekitar kawasan kelopak mata.

Pada mulanya, kewujudannya mungkin tidak berapa disedari.

Lama kelamaan, ia akan menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak dan berwarna merah, disertai dengan kesakitan dan kegatalan yang agak mengganggu.

Adakah ketumbit akan mengganggu penglihatan?

Tidak, penglihatan anda sama sekali tidak akan terganggu sama ada dari jarak dekat atau jarak jauh.

Namun, kelopak mata yang bengkak dan biji mata yang merah mungkin akan membuat mata anda kelihatan agak sepet, atau orang panggil “mata stim”.

Jika anda masih lagi musykil, sila berhubung dengan doktor.

Jenis ketumbit

Untuk pengetahuan anda, ketumbit mempunyai 2 jenis:

i) Hordeolum

Hordeolum berlaku disebabkan oleh infeksi kuman pada kawasan folikel bulu mata (hordeolum luaran) atau kelenjar meibomian (hordeolum dalaman).

Kebiasaannya, ia akan menyebabkan kelopak mata menjadi bengkak, berwarna merah, sakit, gatal dan mungkin mengeluarkan nanah.

Namun, anda tidak perlu risau kerana ia akan pecah dan sembuh dengan sendirinya selepas beberapa hari.

ii) Chalazion

Chalazion berlaku disebabkan oleh kelenjar minyak tersumbat, berbeza dengan hordeolum, ia tidak menyebabkan rasa sakit atau gatal, namun akan membuat mata terasa seperti melekit.

Kebiasaannya, ia terletak jauh daripada pinggir kelopak mata.

Komplikasi ketumbit

Kebiasaannya, kondisi ini akan sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan atau ubatan dari doktor dalam masa beberapa hari.

Akan tetapi, wujud beberapa kes di mana ia akan merebak dan melarat ke bahagian lain di sekitar kelopak mata dan seterusnya mengakibatkan preseptal cellulitis – kondisi kelopak mata yang bengkak teruk.

Rawatan ketumbit

Buat anda yang belum tahu, kondisi ini akan pulih dengan sendiri.

Jadi, usah terlalu gusar terhadapnya.

Namun, jika anda masih mahu merawatnya sendiri di rumah, ini apa yang boleh anda lakukan:

  • Tuamkan kawasan terjejas dengan kain yang direndam dalam air panas untuk 10 minit. Ulang proses ini 2 hingga 3 kali sehari.
  • Bersihkan kelopak mata dengan menggunakan putik kapas yang direndam dengan sabun untuk mencuci bulu mata
  • Urutkan kelopak mata secara lembut untuk mengeluarkan lemak atau nanah yang tersumbat di dalamnya

Jika ia menjadi semakin besar dan melarat, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Doktor mungkin akan memberi ubat titis mata atau ubat makan antibiotik untuk membunuh kuman.

Jika keadaan semakin teruk, doktor mungkin terpaksa melakukan pembedahan minor untuk mengeluarkan lemak atau nanah yang tersumbat di dalam kelopak mata anda.

Intai orang mandi bukan punca ketumbit!

Kesimpulannya, intai orang mandi sudah tentu bukan punca kondisi ini berlaku.

Ia sebenarnya disebabkan oleh infeksi kuman pada kawasan folikel bulu mata atau kelenjar meibomian.

Jadi, tidak ada kena mengena langsung tabiat buruk ini dengan biji yang timbul pada mata.

Kemungkinannya, orang kita dulu mungkin menggunakan mitos ini untuk menegah orang lain daripada mengintai orang mandi.

Sama seperti mitos yang lain, ia hanya dibuat untuk menakut-nakutkan orang sahaja.

Jadi, jika ada orang mengusik dan bergurau mengatakan anda adalah seorang “kaki skodeng” setiap kali ketumbit muncul pada kelopak mata, sila jelaskan ia salah.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]