Seorang lagi hakim dituduh SPRM, berdepan 8 tuduhan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan ia mendapat izin mendakwa untuk menuduh seorang lagi hakim, yang ke-2 selepas seorang hakim Mahkamah Sesyen didakwa pada November.

Majistret Mohd Amin Shahul Hamid akan dituduh esok di Mahkamah Khas Rasuah Kuantan, Pahang.

“Beliau bakal menghadapi 8 pertuduhan mengikut Akta SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut berkaitan kes ini akan diketahui esok selepas pertuduhan dibacakan.

Pada 6 Nov lalu, Azmil Muntapha Abas, 44, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM atas tuduhan menerima rasuah sebagai upah kerana hanya mendenda pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.