Sukan SEA: Ahli Muay Thai raih pingat dalam kick boxing

Aksi Mahmoud Mohammed ketika perlawanan final menentang peninju tuan rumah, Jean Claude Saclag. (Gambar Bernama)

MANILA: Ahli-ahli Muay Thai Malaysia yang menyertai kick boxing dalam Sukan SEA Ke-30 membuktikan pilihan dibuat mereka berbaloi apabila meraih dua pingat perak dan satu gangsa semalam.

Dalam acara final lelaki bawah 63.5kg low kick, Mahmoud Mohammed tidak dapat mengatasi lawan daripada tuan rumah, Jean Claude Saclag dan tewas 0-3 di Cuneta Astrodome, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, pemuda berusia 23 tahun dari Kedah itu mengakui bukannya mudah untuk menyesuaikan diri dalam disiplin tempur yang baru dalam masa 2 bulan, selepas berlatih Muay Thai selama 5 tahun.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tak dapat bawa pulang pingat emas. Sebelum lawan, saya tengok cermin dan cakap pada diri saya ‘Saya perlukan emas walaupun baru kali pertama (dalam pertandingan kick boxing)’.

“Tetapi ini kali pertama saya masuk kick boxing dengan peraturan yang ketat, susah nak sesuaikan diri. Di One Championship saya main Muay Thai, boleh menggunakan siku elbow, ‘glancing’ dan tangkap kaki, tetapi di sini tidak boleh, sukar bagi saya,” katanya.

Selepas berehat selama seminggu, Mahmoud akan memulakan latihan di Bangkok untuk One Championship di ibu kota Thailand itu yang dijadualkan berlangsung pada 10 Jan depan.

Dalam acara lelaki bawah 57kg full contact, kemaraan Awangku Abd Rahman Awang Marajaya juga berakhir dengan perak selepas tewas 0-3 kepada Nyugen Xuan Phuong dari Vietnam di final.

Terdahulu, Muhammad Iffat Muizzuddin Mat Ripen memperoleh gangsa dalam acara lelaki bawah 60kg low kick selepas menewaskan Sivin Chorn dari Kemboja, 2-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.