Suu Kyi didesak di mahkamah PBB hentikan genosid

Sebahagian penyokong Rohingya berkumpul di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda. (Gambar AP)

THE HAGUE: Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi berdepan desakan supaya “menghentikan pembunuhan kaum” masyarakat Islam Rohingya oleh Myanmar kerana beliau yang mengetuai pertahanan negara itu, di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Gambia yang mengheret Myanmar ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, mendakwa negara itu melakukan genosid dengan pemimpin awamnya melakukan pembunuhan beramai-ramai dan merogol masyarakat Rohingya.

Ribuan rakyat Myanmar berdemonstrasi di Yangon bagi menyatakan sokongan terhadap Suu Kyi, 74, yang hanya berdiam diri tentang nasib Rohingya, hingga merosakkan reputasi antarabangsanya sebagai ikon hak asasi manusia.

Kira-kira 740,000 orang Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh selepas dikenakan tindakan keras oleh tentera Myanmar pada 2017, dengan penyiasat PBB menggambarkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Beritahu Myanmar untuk menghentikan pembunuhan tidak masuk akal ini, hentikan tindakan bodoh ini yang terus mengejutkan hati nurani kami, hentikan genosid terhadap orang mereka sendiri,” kata Menteri Keadilan Gambia, Abubacarr Tambadou kepada para hakim.

Gambia yang penduduk majoritinya muslim menuduh Myanmar melanggar konvensyen genosid 1948 dan meminta mahkamah, yang ditubuhkan pada 1946 untuk mengendalikan pertikaian antara negara anggota PBB, untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan keganasan daripada berlanjutan.

“Satu lagi pembunuhan beramai-ramai dilakukan di hadapan mata kita tetapi kita tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya,” tambah Tambadou, bekas pendakwa di tribunal dalam kes pembunuhan beramai-ramai 1994 di Rwanda.

“Setiap hari tiada tindakan diambil, bermakna lebih ramai orang akan terbunuh, lebih banyak wanita diperkosa dan lebih ramai kanak-kanak dibakar hidup-hidup. Untuk jenayah apa yang mereka lakukan? Hanya kerana mereka dilahirkan berbeza. ”

Tambadou kemudian memberitahu pemberita bahawa ia “sangat mengecewakan” sekiranya Suu Kyi mengulangi penafiannya sebelum ini tentang kesalahan dilakukan Myanmar apabila tampil di mahkamah hari ini.

Suu Kyi dijangka mempertahankan bahawa Myanmar menjalankan operasi yang sah terhadap Rohingya dan ICJ tidak mempunyai jurisdikasi dalam kes itu.

Keputusan Suu Kyi sendiri untuk mengetuai kes itu di mahkamah telah membuatkannya popular di Myanmar, di mana Rohingya secara meluas dianggap sebagai pendatang tanpa izin walaupun telah tinggal di Myanmar selama beberapa dekad.

Semalam di Myanmar, penduduk dari seluruh negara berhimpun menyatakan sokongan kepada Suu Kyi, dengan kira-kira 2,000 orang berarak melalui Yangon dan puluhan ribu lagi di Mandalay.

Penyanyi reggae popular, Saw Phoe Khwa antara selebriti yang turut serta dalam demonstrasi di Yangon, menyeru semua orang untuk saling mencintai sebelum menyanyikan lagu.

“Kami perlu berdiri di belakangnya (Suu Kyi) semasa dia bergerak (ke The Hague) untuk mempertahankan maruah negara kita,” kata penduduk Yangon, Thant Zin, 57, Thant Zin.

Penganjur demonstrasi di Yangon memberitahu AFP, mereka memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa bandar untuk menyiarkan secara langsung perbicaraan di mahkamah ICJ hari ini menerusi skrin besar di luar City Hall.

Peguam Gambia bagaimanapun berkata kemunculan papan-papan iklan kebelakangan ini di Myanmar yang memaparkan Suu Kyi dengan 3 jeneral tersenyum menunjukkan wanita itu “bersam-sama” dengan tentera yang melakukan keganasan terhadap Rohingya.

Sekumpulan 50 penunjuk perasaan pro-Rohingya berkumpul di luar pintu ICJ untuk perbicaraan, dengan membawa spanduk yang tertera: “Katakanlah kepada Rohingya, keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang ditolak”.

“Hari ini adalah permulaan untuk keadilan kepada hak kami,” kata Mohammed Harun, 49, yang mengembara dari London untuk perbicaraan itu. “Hari keadilan antarabangsa untuk Rohingya,” katanya kepada AFP.

Sekumpulan kecil penyokong Suu Kyi juga memegang sepanduk di luar mahkamah dengan wajah pemimpin Myanmar di atasnya dan tertera: “Kami menyukai anda, kami berdiri bersama anda!”

“Suu Kyi adalah satu-satunya orang yang dapat menyelesaikan masalah ini,” kata penyokong Swe Swe Aye, 47, kepada AFP.

Aung San Suu Kyi pernah disamakan dengan tokoh-tokoh keamanan seperti Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi, setelah memenangi Nobel pada 1991 atas perjuangannya menentang pemerintahan junta yang kejam di Myanmar.

Selepas 15 tahun di bawah penahanan rumah, beliau dibebaskan pada 2010 dan memimpin partinya untuk menang dalam pilihan raya pada 2015, namun tindakan beliau mempertahankan jeneral-jeneral sama yang pernah mengurungnya, mendapat kutukan antarabangsa.

Hakim ICJ hanya pernah sekali sebelum ini memutuskan bahawa pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan, iaitu pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada 1995 di Bosnia.

Myanmar, bagaimanapun menghadapi beberapa cabaran undang-undang berhubung nasib Rohingya, termasuk siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, tribunal jenayah perang berasingan di The Hague, dan tuntutan mahkamah di Argentina.