Tiada layanan seksis daripada pegawai lelaki, kata bos wanita pertama SPRM

Latheefa Koya dilantik mengetuai SPRM sejak 1 Jun lalu untuk tempoh 2 tahun.

PETALING JAYA: Latheefa Koya berkata, tiada pegawai lelaki yang memberi layanan seksis kepadanya kerana menjadi wanita pertama mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tetapi, beliau mengakui tidak dapat mengelak daripada imej garang yang sinonim dengan dirinya.

“Itu (imej garang) mungkin sudah jadi reputasi saya, cuma mungkin bos lelaki dikatakan garang, tapi apabila seorang wanita, macam-macam perkataan…(cerewet) la, meroyan dan sebagainya.

“Saya gembira sebab bila saya masuk SPRM, 95% pegawai adalah lelaki yang bukan muda, tetapi mereka tunjukkan profesionalisme. Secara peribadi, saya tak rasa sebarang tindakan seksis,” katanya dalam temubual eksklusif “Wanita sebagai pemimpin” di Bernama Radio hari ini.

Peguam hak asasi manusia itu dilantik mengetuai SPRM sejak 1 Jun lalu untuk tempoh 2 tahun.

Mengenai keterampilannya yang dilihat menonjol selepas pendedahan serta tangkapan kes rasuah beberapa bulan ini, Latheefa berkata, itu hanya satu persepsi.

“Mungkin sebab lihat imej saya yang garang dan apabila berlaku tangkapan, kita umumkan kes-kes begitu seolah-olah saya ada di situ (SPRM).

“Sebenarnya, perkara ini (siasatan) sudah lama, mungkin kita mengambil satu inisiatif baru, iaitu apa yang dilakukan SPRM akan diwar-warkan dan dimaklumkan. Ini kerja satu pasukan.”

Latheefa berkata, beliau mahu melihat keseimbangan jantina dalam jawatan tertinggi SPRM, bukannya hanya didominasi lelaki.

“Saya berharap ada pegawai kanan wanita yang dapat peluang di peringkat kepimpinan tertinggi. Kita harap ada perubahan itu dan perkara ini akan diumumkan secepat mungkin.”

Katanya, beliau tidak pernah mengimpikan menyandang jawatan itu kerana mahu terus menjadi peguam hak asasi manusia.

“Saya tak pernah mengidam jadi ketua pesuruhjaya SPRM, tapi mungkin pengalaman sebagai peguam itu, saya dapat belajar lebih cepat kerana ia melibatkan undang-undang.

“Dulu saya jadi peguam fokus isu hak asasi manusia juga pencabulan hak dan mula-mula nampak beza peranan, tapi sebenarnya sama sebab melalui SPRM, saya boleh banteras rasuah untuk jamin hak orang ramai.”

Katanya, SPRM akan membuka semula kes lama membabitkan kepentingan awam yang ditutup tanpa alasan kukuh pada awal tahun depan.