Cukai tanah di KL diganti cukai petak mulai tahun depan

Khalid Abdul Samad berucap pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Cukai Petak Wilayah Persekutuan di Rumah Persekutuan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem cukai petak mulai 1 Jan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menyaksikan pemilik, khasnya golongan B40 menikmati kadar tetap RM15 setahun bagi hak milik pajakan dan RM20 setahun bagi pegangan hak milik kekal.

Ia melibatkan pemilik petak kediaman strata daripada skim kediaman kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tanpa mengira saiz keluasan petak.

Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, hari ini.

Khalid berkata, bagi kediaman jenis pangsapuri mampu milik atau apartmen yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 96m persegi (1,030 kaki persegi), yang rata-rata dimiliki golongan M40 pula dikenakan cukai petak pada kadar minimum RM20 setahun bagi pegangan hak milik pajakan dan RM25 setahun bagi pegangan hak milik kekal.

“Kerajaan mengambil pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan cukai petak ini dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan hasrat kerajaan melaksanakan peralihan cukai tanah kepada cukai petak tanpa meningkatkan kos sara hidup atau bebanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.”

Katanya, berdasarkan rekod di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, lebih 70% kediaman jenis pangsapuri mampu milik atau apartmen yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi atau 96m persegi.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi negeri ke-4 melaksanakan inisiatif peralihan cukai tanah kepada cukai petak ke atas hak milik strata selepas Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Khalid berkata, pelaksanaan sistem cukai ini ialah mekanisme pembetulan dan rasionalisasi bagi cukai ke atas pembangunan strata yang lebih sistematik, telus dan adil kepada setiap pemilik petak strata.
Pewujudan akaun cukai petak secara individu kepada setiap pemilik petak juga akan membolehkan pemilik petak yang tiada tunggakan meneruskan urus niaga seperti pindah milik, pajakan dan gadaian tanpa sebarang halangan.

Pembangunan Kampung Baru

Sementara itu, Khalid berkata, setakat ini lebih 2,200 daripada lebih 5,000 pemilik tanah Kampung Baru sudah mengisi dan menghantar borang maklum balas berkaitan pelan pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, 95.3% daripada jumlah itu bersetuju dan menunggu peluang menjualnya kepada kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Sebelum ini, Khalid dilapor berkata, 30 Nov lalu ialah tarikh terakhir pemilik tanah Kampung Baru mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan kawasan berkenaan.