Impac mahu terapkan TVET lahirkan pekerja ladang berkemahiran

Menteri Industri Asas Utama Teresa Kok menyampaikan cenderemata kepada salah seorang peserta sempena Majlis Anugerah Impac Kali ke-7, di Bangi hari ini.

BANGI: Kementerian Industri Utama melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Impac) sedang merangka program kemahiran berteraskan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata menterinya Teresa Kok.

Beliau berkata ia bagi melahirkan belia berkemahiran yang mahu menceburkan diri dalam sektor komoditi negara.

“TVET sangat penting untuk mana-mana negara.

“Saya selalu lihat graduan universiti keluar beberapa bulan tak dapat kerja. Tetapi mereka yang menjalani latihan TVET ini senang dapat kerja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Impac kali ke-7, hari ini.

Dalam pada itu Teresa berkata penubuhan Impac dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Penubuhan institusi itu juga, kata beliau, adalah salah satu cara untuk menggalakkan golongan muda menceburi sektor perladangan.

“Kita galakkan orang muda hadiri kursus ini supaya dapat melahirkan tenaga kerja tempatan yang terlatih dalam sektor ini,” katanya.

Terasa berkata dari 2011 sehingga September 2019, Impac telah melatih seramai 70,672 peserta di pusat-pusat latihan di bawah 6 agensi kementerian.

Beliau berkata Impac menjangkakan seramai 80,000 peserta daripada golongan belia dilatih menjelang tahun 2020.

“Program latihan dijalankan Impac mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi seperti Kursus Operator Mekanisasi Ladang (KOML).

“Di mana lebih 75% lepasan kursus ini bekerja dalam sektor komoditi sawit sebagai operator jentera terlatih, penyelia ladang sehingga kepada penolong pengurus ladang,” katanya.