Malaysia kekal sasaran pertumbuhan KDNK 4.8% pada 2020, kata menteri kewangan
Sebarang perubahan unjuran KDNK bergantung kepada prestasi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini.
PUTRAJAYA: Malaysia optimis untuk mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.8% pada 2020, di sebalik laporan Kumpulan Bank Dunia yang menyemak turun unjuran pertumbuhan Malaysia.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebarang perubahan unjuran KDNK bergantung kepada prestasi pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini.
“Kita akan kekal dengan sasaran kita, ia bergantung kepada prestasi pertumbuhan 2019. Sekiranya capai KDNK 4.7% pada 2019, kita mungkin kekalkan sasaran kepada 4.8% pada 2020.
“Jika (KDNK) tidak dapat dicapai, kita akan melihat semula. Tetapi buat waktu ini, ia masih di landasan betul,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.
Lim berkata demikian menjawab laporan Kumpulan Bank Dunia yang menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.5% bagi 2020, berbanding unjuran tahun ini sebanyak 4.6%.
Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record dilaporkan berkata, unjuran KDNK yang lebih rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan pelaburan dan pertumbuhan eksport pada suku ketiga 2019 yang lemah.
Terdahulu, laporan Tinjauan Ekonomi 2020 dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Oktober menjangkakan KDNK negara tumbuh 4.8% pada 2020 dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, terutamanya perbelanjaan isi rumah berikutan pasaran buruh yang stabil serta inflasi yang rendah.
Sementara itu, Lim turut memaklumkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkaitan Putrajaya mempertimbangkan untuk menjual saham Petronas kepada negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas disalah tafsir pihak tertentu.
Menurut Lim, keputusan mempertimbangkan untuk menjual saham Petronas kepada negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas itu mempunyai kaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah untuk memastikan bahawa negeri seperti Sabah dan Sarawak mempunyai bahagian mereka yang sewajarnya. Saya rasa kita lihat dalam konteks ini, dari segi persepsi lain, ia disalah tafsirkan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Ia adalah dalam konteks MA63 supaya dapat memenuhi aspirasi untuk memastikan negeri itu dapat milikan. Kalau sebelum ini, mereka tidak ada peluang langsung. Mungkin ini sesuatu yang disyorkan oleh perdana menteri,” katanya.