Malaysia terus tuntutan AS$7.5 bilion daripada Goldman, kata Guan Eng
Menteri kewangan berkata, Malaysia akan terus berusaha untuk menuntut AS$7.5 bilion daripada Goldman yang terkait dengan skandal 1MDB.
PUTRAJAYA: Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, walaupun bank pelaburan itu dilaporkan berunding dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) (AS) untuk membayar penalti tidak melebihi AS$2 bilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia tidak mendapat sebarang maklumat mengenai rundingan berkenaan dan akan terus berusaha menuntut AS$7.5 bilion (RM31.24 bilion) daripada Goldman.
“Saya hendak tekankan sekali lagi bahawa kerajaan Malaysia tidak tahu tentang laporan ini kerana kita tidak ada apa-apa maklumat mengenai mereka hendak buat penyelesaian di antara AS$1.5 bilion hingga AS$2 bilion kepada AS.
“Kita akan teruskan tindakan jenayah yang kita ambil terhadap Goldman. Saya sudah berhubung dengan peguam negara dan beliau nyatakan kes ini akan didengar, dijangka dibicarakan pada pertengahan tahun depan.
“Kerajaan Malaysia masih menuntut pembayaran sehingga AS$7.5 bilion sebagai balasan ke atas kerugian yang kita alami daripada skandal 1MDB,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Goldman mungkin membayar tidak lebih AS$2 bilion (RM8.32 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB.
Menurut laporan yang memetik 3 individu mengetahui rundingan itu, DoJ dan agensi persekutuan lain menerusi rundingan dalaman yang dilakukan beberapa minggu ini, mempertimbangkan untuk mengenakan penalti antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion.
Jumlah itu kurang daripada jangkaan sesetengah penganalisis. Walaupun penyelesaian mungkin diumumkan seawal bulan depan, syarat itu mungkin berubah sebelum perjanjian dimuktamadkan, kata individu yang tahu mengenai rundingan sulit itu.
Hari ini, Lim berkata, tuntutan AS$7.5 bilion hanyalah untuk Goldman dan ia tidak termasuk tuntutan ke atas ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang bersembunyi di negara lain.
“Jho Low banyak lagi. Nilai AS$7 bilion itu hanyalah dari Goldman sahaja,” katanya.
Pada 2 Nov lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia menolak tawaran Goldman yang “kurang daripada AS$2 bilion”.
“Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu, jadi kami masih berbincang dengan mereka. Jika mereka memberi respons munasabah, kami mungkin tidak akan bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion,” kata perdana menteri dipetik Financial Times London.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Malaysia mendakwa Goldman dan 17 bekas pengarah dan semasanya membantu 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion dalam bentuk bon.