Mavcom akan serah tugas sebelum bergabung dengan CAAM

Nungsari Ahmad Radhi berkata, Mavcom sudah dimaklumkan mengenai cadangan penggabungan dengan CAAM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menyerahkan semua peranan dan tanggungjawab statutori kepada Kementerian Pengangkutan susulan cadangan penggabungan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi berkata, tumpuannya sekarang ialah kebajikan kakitangan dan menyerahkan peranan statutorinya dengan penuh tanggungjawab.

“Saya akan bekerjasama dengan pesuruhjaya untuk melaksanakan peralihan sewajarnya bagi kakitangan, dan setelah itu, kami akan menyerahkan semua peranan dan tanggungjawab statutori kepada Kementerian Pengangkutan.

“Mereka kelak boleh membuat keputusan mereka. Dalam pada itu, kami akan terus menjalankan peranan kami seperti yang ditetapkan dalam akta,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan laporan sebuah portal berita mengenai cadangan Mavcom bergabung dengan CAAM.

Nungsari berkata, Mavcom sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru ini.

Mavcom ialah entiti bebas yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia urusan ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam.

Matlamat suruhanjaya itu ialah menggalakkan industri penerbangan yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.