Salah label ‘politik longkang’ semata-mata aduan terhadap pemimpin PH, kata peguam Yusoff Rawther
Haniff Khatri Abdulla berkata dia juga pernah terlibat dalam kes terhadap menteri, kerajaan negeri dan peguam negara.
Haniff Khatri Abdulla berkata ia tidak boleh dilabelkan begitu tanpa keputusan siasatan, mengingatkan siasatan menyeluruh wajib dibenarkan berjalan tanpa gangguan atau intimidasi mana-mana pihak.
“Supaya satu keputusan adil dapat diperolehi terhadap aduan itu,” katanya dalam kenyataan, menjawab laporan FMT hari ini.
Terdahulu, sekumpulan penyokong Anwar mempersoalkan tindakannya mewakili Yusoff, yang menuduh Anwar cuba mencabul kehormatannya dalam satu akuan berkanun yang dilampirkan bersama laporan polisnya.
Anwar sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu, mengatakan ia tidak berasas dan bermotif politik.
Pro ’98 Reformis Malaysia mendakwa Haniff sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor”, dan menggesa Haniff meletakkan jawatan sebagai pengerusi di Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
Haniff menjelaskan pelantikannya ke Perda bukan lantikan jawatan bergaji eksekutif sepenuh masa dan sama sekali tidak menghalangnya daripada menjalankan kerjaya peguam sepenuh masa.
Beliau juga menyarankan mereka yang tidak berpuas hati supaya membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, menjelaskan pelantikannya atas budi bicara menteri bagi satu tujuan khusus iaitu menangani dan menyelesaikan permasalahan tadbir urus di Perda.
Hakikatnya, kata Haniff, beliau pernah mewakili pelbagai pihak dalam kes terhadap menteri-menteri, kerajaan-kerajaan negeri dan peguam negara semasa pentadbiran PH, sambil menyenaraikan 6 kes berkenaan dalam kenyataannya.
“Tidak pernah pun mana-mana pihak bangkitkan tohmahan dan fitnah bahawa semata-mata saya dilantik sebagai pengerusi Perda oleh menteri maka kononnya ianya tidak profesional untuk saya mewakili semua anak guam saya,” katanya.
Haniff mempertahankan kedudukannya dan menganggap kenyataan kumpulan pro Anwar itu suatu intimidasi dan ugutan untuk dia sama ada berhenti mewakili Yusoff atau meletakkan jawatan di Perda.
“Saya tidak akan tunduk,” katanya, sebagai seorang pengerusi agensi persekutuan dan seorang peguam profesional.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman melancarkan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berdasarkan laporan Yusoff yang dibuat pada 7 Dis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Seksyen tersebut berkenaan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.