Speaker beri masa tambahan 3 ahli Parlimen GPS isytihar harta

PETALING JAYA: Dewan Rakyat memberi masa tambahan kepada 3 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengisytiharkan harta selepas tamat tarikh akhir pada 5 Dis lalu, kata speakernya, Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, hanya 3 daripada 62 wakil rakyat yang belum mengisytiharkan harta, mengemukakan permohonan untuk penambahan masa.

Manakala 59 wakil rakyat yang belum mengisytiharkan harta terdiri daripada Barisan Nasional (38), PAS (18), 2 ahli Parlimen bebas dan seorang daripada Parti Reformasi Negeri (STAR).

“Jika mereka merasakan mereka memerlukan lebih masa lagi untuk sebab-sebab tertentu, kita bukanlah jahat.

“Tetapi, bagi yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka, itu cerita lain,” katanya dipetik Bernama pada Majlis Makan Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen dan Media: Reformasi dan Hala Tuju Parlimen Malaysia malam tadi.

Pada 5 Dis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, semua 139 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sudah mengisytiharkan aset mereka kepada Dewan Rakyat.

Katanya, 3 ahli Parlimen daripada BN, GPS (14), masing-masing seorang daripada Parti Bersatu Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Bersatu Sabah juga sudah berbuat demikian.

Ahli Parlimen pada mulanya diberikan masa sehingga 1 Okt lalu untuk mengisytiharkan harta mereka, tetapi Liew berkata, tempoh itu dilanjutkan ke 5 Dis lalu.

Usul khas mewajibkan semua 222 ahli Parlimen mengisytiharkan harta sendiri, pasangan dan anak dewasa mereka diluluskan 1 Julai lalu.

Di bawah usul itu, ahli Parlimen yang didapati membuat pengisytiharan palsu akan didakwa di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 193 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta mereka akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sementara itu, Arif berkata, Parlimen berjaya melakukan pelbagai reformasi sepanjang tahun ini menerusi pelbagai program.

”Kita berharap lebih banyak lagi yang dapat dilakukan pada tahun depan. Diharap wakil media dapat melaporkan apa yang telah kami lakukan dengan cara yang paling berkesan kerana rakyat perlu tahu apa yang berlaku di Parlimen.

“Tahun ini juga menyaksikan satu perkembangan baru di Parlimen seperti perbahasan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ia tidak pernah dibentangkan sejak 19 tahun lalu,” katanya yang menekankan Parlimen kini bergerak ke arah lebih baik.