Anwar gesa Putrajaya segera atasi masalah rakyat dalam laporan Bank Dunia

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu tegas melaksanakan janji dalam manifesto PH untuk membela golongan miskin.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa kerajaan segera menyelesaikan isu kos sara hidup, mewujudkan pekerjaan bergaji munasabah serta program kebajikan untuk golongan miskin seperti dicadangkan dalam laporan Bank Dunia baru-baru ini.

Katanya, laporan edisi ke-21 Pemantau Ekonomi Malaysia “Making Ends Meet” yang diumumkan Bank Dunia pada 9 Dis lalu, mendapati Malaysia berdepan ekonomi global suram dengan harga rumah “parah” dan “membimbangkan” di banyak wilayah negara ini.

“Nisbah 3 dalam 10 warga berasa kurang yakin dalam keupayaan mereka mendapatkan bekalan makanan.

“Tambahan pula, kadar hutang yang tinggi serta kekurangan simpanan menambahkan lagi rasa gawat pada ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, laporan Bank Dunia itu juga sejajar kenyataan seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertikaikan garis kemiskinan rasmi tidak realistik di Malaysia.

Pada 23 Ogos lalu, Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston dilaporkan berkata, dakwaan Malaysia yang kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar tidak menggambarkan keadaan sebenar dan mengecualikan penduduk mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Katanya, garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan untuk 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari terlalu rendah kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

Alston pernah menemui keluarga yang tidak mampu membayar sewa, menghantar anak ke sekolah atau mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak dapat menanggung kos pengangkutan.

Hari ini, Anwar berkata, kerajaan perlu tegas melaksanakan janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk membela golongan miskin.

“Semua isu yang disentuh laporan tersebut mampu ditangani dengan dasar-dasar ekonomi PH, jika diberi fokus dan iltizam jitu untuk menanganinya kerana ia ternyata memberi kesan kepada ramai warga, terutamanya golongan B40.

“Saya yakin keadaan lebih suram di kawasan desa seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu, serta di pedalaman Sabah dan Sarawak.”

Katanya, hubungan dan komunikasi berkesan mengenai usaha serta kejayaan kerajaan PH penting untuk membina keyakinan dan memastikan dasar diperkenalkan dapat dijayakan.