CAP gesa Putrajaya batal keputusan gabung Mavcom, CAAM

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Putrajaya membatalkan keputusan menggabungkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP menerusi suratnya kepada Dr Mahathir Mohamad awal minggu ini meminta perdana menteri tidak membubarkan Mavcom demi kepentingan pihak tertentu.

“Kepada kami, ia kedengaran seolah-olah disebabkan CAAM tidak beroperasi dengan baik, Mavcom harus dikorbankan.

“Kami ingin tahu kenapa Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk membubarkan Mavcom di sebalik mengambil langkah-langkah untuk menaikkan taraf CAAM dengan menjadikannya contoh kepada Mavcom. Apakah justifikasi yang boleh diberikan kementerian?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi dilaporkan berkata, suruhanjaya itu akan menyerahkan semua peranan dan tanggungjawab statutori kepada Kementerian Pengangkutan dan memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan.

Mavcom ialah entiti bebas yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia urusan ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam.

Matlamatnya ialah menggalakkan industri penerbangan yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Hari ini, Mohideen turut mengkritik Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook tidak berpandangan jauh selepas CAAM diturunkan gred baru-baru ini.

Katanya, kajian yang dijalankan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati CAAM berdepan masalah kekurangan tenaga kerja dan kakitangan sedia ada kurang berpengalaman serta menerima gaji rendah.

“Menurut mereka juga, penurunan itu sebahagiannya disebabkan ketidakupayaan Kementerian Pengangkutan untuk melakukan perubahan yang sewajarnya dalam CAAM agar ia boleh berfungsi sebagaimana sepatutnya.

“Oleh itu, kenapakah badan kawal selia yang mampu berdikari dan beroperasi dengan baik akan dibubarkan demi memberi ruang kepada badan kawal selia yang sedang bergelut dan tidak cekap?”

Beliau berkata, Mavcom yang tidak menerima pembiayaan kerajaan, tetapi hanya dibiayai RM1 daripada setiap penumpang terbang ke luar negara, dilihat mampu menjaga kebajikan penumpang penerbangan dengan memastikan syarikat penerbangan serta lapangan terbang menjalankan tanggungjawab mereka.

Katanya, Mavcom turut memainkan peranan sebagai pengawas kepada Kementerian Pengangkutan kerana mereka hanya memberikan penjelasan terus kepada Parlimen, bukannya menteri.