Mahkamah benarkan Najib periksa 17,000 dokumen Justo serah pada SPRM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Najib Razak untuk memeriksa 17,000 dokumen yang diberikan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan Najib mempunyai asas mencukupi kerana dokumen itu ada kaitan dengan pertuduhan ke atasnya dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

“Permohonan itu dibenarkan dan beliau ada hak untuk memeriksa dokumen itu,” kata Sequerah dalam penghakiman lisannya yang mengarahkan pendakwaan menyerahkan dokumen itu dalam 3 minggu.

Beliau berkata, semua orang tahu maklumat yang dicari Najib itu sudah diserahkan kepada SPRM.

“Bukti dengar cakap bukan isu dan maklumat itu boleh diterima di bawah Seksyen 41A Akta SPRM.”

Katanya, hakikat Justo menyerahkan maklumat itu kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki tidak dapat dinafikan.

“Mahkamah ini juga mempunyai kuasa mengkaji semula sama ada maklumat itu terlindung dan ketua jabatan tiada kuasa menentukannya,” katanya sambil menambah ia tidak menjejaskan kepentingan awam jika Najib melihat dokumen itu.

Azam yang mengesahkan satu afidavit difailkan untuk menghalang Najib memeriksa dokumen itu, berkata ia adalah maklumat sulit di bawah Akta Keterangan.

Najib ingin mendapatkan maklumat itu untuk membela diri dalam perbicaraan 1MDB yang akan bersambung 13 Jan depan.

Justo ialah pengarah yang berpangkalan di pejabat PetroSaudi di London antara Februari 2010 hingga April 2011.

Beliau dilapor menyerahkan sekotak dokumen dan fail pada 2 Nov 2018 selepas dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dalam skandal 1MDB.

Beliau mengakui nama Najib disebut beberapa kali dalam dokumen membabitkan 1MDB itu yang dimilikinya. Tetapi, beliau tidak menyatakan nama Najib disebut dalam konteks apa.

Peguam Al-Firdaus Shahrul Naing yang mewakili Najib, berada di mahkamah hari ini, tetapi beliau keluar selepas Sequerah membenarkan permohonan yang beliau tidak diperlukan di sana.

Peguam itu berkata, dokumen itu sudah berada di tangan akhbar The Edge dan laman Sarawak Report.

“Demi kepentingan keadilan, anak guam saya perlu mempunyai akses ke atas maklumat itu.”

Bagaimanapun, Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata, Najib berhak melihat maklumat itu selepas mahkamah mengarahkannya membela diri.

“Ini ialah permohonan terlalu awal dan penggunaan maklumat itu ketika pendakwaan berlangsung akan menjadi bukti dengar cakap.”

Sri Ram kemudiannya memberitahu wartawan, beliau akan menasihatkan SPRM menyerahkan dokumen yang disimpan dalam pemacu pen kepada pasukan guaman Najib.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa yang didakwa ada kaitan dengan dana 1MDB dalam akaun AmBanknya.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau turut dikatakan memindahkan dana haram RM2.28 bilion ke akaunnya, sebelum menggunakan wang itu.