Najib bidas peguam negara kerana ‘tidak tahu’ mengenai beberapa kes penting

Najib Razak membidas Peguam Negara Tommy Thomas kerana mendakwa tidak tahu tentang beberapa kes yang difailkan di mahkamah.

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini membidas Peguam Negara Tommy Thomas kerana mendakwa tidak tahu berhubung beberapa kes penting di mahkamah.

Bekas perdana menteri berkata demikian selepas Tommy mendakwa tidak tahu berhubung langkah jabatan beliau memfailkan satu permohonan rayuan baru-baru ini.

Tommy sebelum ini dilaporkan berkata rayuan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah membebaskan naib presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) dibuat tanpa pengetahuannya.

Jabatan itu kemudiannya menarik balik rayuan terhadap Rafizi yang dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan mendedahkan akaun bank berkait National Feedlot Corporation (NFC).

Najib berkata, ia bukanlah kali pertama Tommy mendakwa tidak tahu tentang kes yang difailkan.

Beliau berkata, menurut seorang ahli Parlimen DAP, pada April, Tommy dilaporkan berkata, beliau sendiri akan menyiasat kenapa mahkamah membebaskan seorang majikan yang didakwa mendera dan membunuh pembantu rumah warga Indonesianya di Pulau Pinang.

Pada Julai, Tommy juga dilaporkan berkata, beliau tidak tahu tentang rayuan balas yang difaikan terhadap sabitan dan hukuman ke atas seorang penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin kerana menghasut.

Menurut Najib lagi, sekali lagi pada Julai, Tommy juga menafikan terlibat dalam pemfailan satu afidavit di Mahkamah Rayuan bahawa pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak mati kerana dipukul.

“Dalam afidavit yang difailkannya pada 19 Julai, Thomas berkata walaupun terdapat 1,200 pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara, beliau tidak mengeluarkan arahan kepada mereka mengenai tugas harian masing-masing,” kata Najib di Facebook.

Najib juga menyenaraikan kes pada Nov yang menyaksikan Tommy mendakwa tidak tahu mengenai pembatalan 2 pertuduhan tambahan terhadap ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP kerana didakwa terbabit dengan Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE).

“Ini dah 5 kes ‘tidak tahu’ dalam masa 8 bulan untuk satu jabatan kerajaan dengan 1,200 kakiktangan sahaja,” katanya.