Pasukan elit NZ bawa keluar 6 mayat dari gunung berapi

Pasukan elit tentera New Zealand tiba di White Island menggunakan helikopter untuk membawa keluar mayat yang masih terperangkap di pulau itu. (Gambar AFP)

WHAKATANE: Pasukan elit tentera New Zealand hari ini berjaya menemukan 6 mayat di White Island ketika gunung berapi di situ masih lagi dalam keadaan tidak stabil.

Operasi bermula dengan 2 helikopter tentera berlepas dari lapangan terbang Whakatane ke pulau tersebut, di mana letusan gunung berapi yang berlaku pada Isnin lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dan selebihnya mengalami kecederaan teruk.

Pasukan dengan kekuatan 8 orang anggota itu dihantar untuk mencari 8 lagi mangsa yang masih terperangkap di gunung berapi paling aktif di New Zealand tersebut.

Selepas menunggu selama lebih daripada 5 jam, polis berkata mereka berjaya membawa keluar 6 mayat dan membawa mereka ke sebuah kapal tentera laut yang berlabuh di pesisir pantai.

“Saya sangat menghargai pasukan penyelamat atas usaha dan keberanian mereka yang ditunjukkan hari ini,” kata ketua polis, John Tims dalam kenyataan.

Kebanyakan pelancong yang maut di pulau itu ialah dari Australia dan Menteri Luar negara itu, Marise Payne, berkata pihak berkuasa New Zealand telah menyatakan komitmen untuk menghantar 2 lagi baki mayat kepada keluarga masing-masing.

“Kita faham peristiwa yang berlaku di White Island adalah bencana alam. Ini adalah waktu yang sangat menyedihkan buat setiap ahli keluarga, rakan-rakan dan orang yang tersayang,” katanya.

Dron yang diterbangkan ke White Island membantu mengesan 6 mayat tersebut sebelum pasukan penyelamat mendarat di pulau itu dengan alat pelindung yang berat, yang memperlahankan dan menghadkan pergerakan mereka.

Pakar vulkanologi memantau gunung tersebut secara langsung, dan bersedia untuk membatalkan operasi jika terdapat tanda-tanda berlakunya letusan lain.

Ketika pasukan itu membawa keluar mayat dari White Island, 28 orang mangsa lain masih dirawat di beberapa hospital di New Zealand dan Australia, dengan kebanyakannya menderita kelecuran teruk.

Seramai 47 orang berada di pulau itu sewaktu letusan berlaku, dan mereka antaranya berasal dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China, Jerman, Malaysia dan New Zealand.