Pelajar wanita Islam diserang individu bertopeng dalam tandas sekolah

Poster mengutuk perbuatan buli dan ucapan kebencian yang ditampal di kantin sekolah. (Gambar Instagram Pleasant Grove High School)

PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan beragama Islam di California, Amerika Syarikat diserang individu bertopeng di dalam tandas sekolah, dalam satu lagi kes serangan Islamofobia di nagara itu, lapor Stepfeed.

Sabah Elias dari Sekolah Tinggi Pleasant Grove memberitahu polis dia diekori individu bertopeng ketika menuju ke tandas semasa mengikuti pembelajaran tutor.

Katanya, penyerang melemparkan kata-kata hinaan terhadap agamanya dan mencampak sebotol air ke mukanya. Terkejut dengan kejadian itu, gadis itu melaporkannya kepada pegawai sekolah yang segera menghubungi polis.

“Saya sangat takut pada awalnya menyebabkan saya mahu pulang ke rumah, tetapi ibu bapa saya benar-benar memberi inspirasi kepada saya dan benar-benar menunjukkan bahawa orang lain juga menderita seperti itu,” kata Elias ketika ditemubual.

Dalam memberi sokongan kepada masyarakat Islam tempatan, sekolah itu mengadakan pertemuan dengan wakil dari Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) dan Datuk Bandar Elk Grove.

“Kami kagum melihat solidariti dari masyarakat dan kami komited untuk menyokong pelajar kami dan mencabar buli, kebencian dan prasangka dalam semua bentuk. Kami memantau kes ini secara dekat,” kata peguam hak sivil bagi CAIR, Dustin Johnson.

Selepas insiden itu, pegawai sekolah menghantar surat kepada ibu bapa yang mengutuk semua perbuatan “buli, ucapan kebencian, memaparkan kebencian dan apa jua tindakan kebencian.”

Surat itu memberi amaran yang ketat terhadap tindakan tersebut, menjelaskan mereka melanggar dasar yang ditetapkan.