Pemimpin PPBM gesa henti sentimen ‘Arab-sunnah-halal’ pasarkan produk kesihatan

Sesetengah usahawan menggunakan sentimen Melayu, Arab, sunnah, halal dan Islam untuk melariskan jualan mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM mengkritik golongan usahawan Melayu yang menggunakan sentimen “Arab-sunnah-halal” bagi melariskan jualan produk kesihatan mereka.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Muhammad Faiz Na’aman berkata usahawan ini rata-ratanya tidak mempunyai asas pendidikan dalam bidang biologi, kimia, nutrisi, kesihatan atau farmakologi.

“Telah lama saya perhatikan fenomena sesetengah usahawan yang guna sentimen Melayu, Arab, sunnah, halal dan Islam ini sewenang-wenangnya membuat pengakuan khasiat produk mereka tanpa asas yang kukuh dalam bidang sains.

“Lebih parah lagi mereka menjadikan sumber atau individu dalam kelompok ‘pseudoscience’ (sains palsu) sebagai hujah rujukan produk mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai risalah susu pisang yang mengelirukan yang dikeluarkan oleh pengacara dan usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Noor, sehingga menerima teguran pakar bedah, Dr Amalina Che Bakri.

Amalina menerusi Twitter peribadinya meminta penjelasan usahawan itu tentang khasiat susu pisang yang dianggap keterlaluan dipromosikan.

Neelofa bagaimanapun mengakui terkilan dan sedih dengan sikap segelintir orang Melayu yang cuba menjatuhkan perniagaan orang lain dari bangsa yang sama.

Faiz bagaimanapun berkata golongan usahawan ini akan menuduh pihak yang membongkar penipuan serta taktik pemasaran produk mereka sebagai khianat, dengki, sabotaj dan jatuhkan sesama Melayu.

“Walhal siapa yang cuba menipu sesama Melayu selama ini dengan menjual produk yang hakikatnya sekadar selamat dimakan atau diminum sahaja, tanpa apa-apa manfaat kesihatan yang terbukti oleh kajian saintifik yang diiktiraf?

Katanya, ramai usahawan Bumiputera tersebut menjadi jutawan segera hasil dari produk makanan dan minuman kesihatan mereka yang dibeli majoriti orang Melayu yang rata-ratanya tidak celik asas sains.

“Tidak hairanlah statistik penyakit yang melibatkan buah pinggang, hati serta barah terus meningkat dalam masyarakat negara ini terutamanya di kalangan orang muda kaum Melayu.

“Kita mudah diperdayakan oleh produk yang menayangkan wajah artis atau selebriti terkenal sebagai duta produk tersebut tanpa meneliti isi kandungannya dari sudut ilmu sains kesihatan.”