PRK Kimanis peluang baiki hubungan dengan Warisan, kata PPBM Sabah

PPBM dilancarkan di Sabah pada 6 Apr, sebulan selepas pengumuman keluar Umno oleh pimpinan parti itu secara beramai-ramai.

KOTA KINABALU: Pilihan raya kecil Kimanis akan membuka peluang buat PPBM di Sabah untuk memperbaiki hubungan dengan Warisan, kira-kira 8 bulan selepas parti Melayu itu melebarkan sayap ke Borneo.

Ketua Penerangan PPBM Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata membantu Warisan dalam kempen PRK itu akan menunjukkan bahawa PPBM tidak akan menjejaskan parti pemerintah, yang pada awalnya mempersoalkan ketibaan PPBM di Sabah.

“Kimanis adalah batu loncatan untuk semua orang berdamai dan agenda kami adalah sangat jelas, iaitu memastikan calon Warisan menang, dan menang besar pada PRK itu,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata, terdapat kesangsian antara ahli Warisan dan PPBM di Sabah berikutan timbul persepsi bahawa parti yang berpangkalan di Semenanjung itu menyokong bekas ketua menteri, Musa Aman.

“Ini tidak benar, semuanya hanya khabar angin,” katanya.

Beliau berkata apabila Dr Mahathir Mohamad memberikan lampu hijau kepada parti untuk bertapak di Sabah, pengerusi PPBM itu telah meletakkan beberapa syarat.

“Syarat pertama yang dikenakan kepada kami oleh Tun (Mahathir) ialah membantu Ketua Menteri Shafie Apdal, menjadi jambatan antara persekutuan dan negeri.

“Perdana menteri memberikan arahan yang sangat khusus bahawa Shafie adalah ketua menteri dan kita mesti bekerjasama dengannya untuk memastikan semua perancangan dan arah tuju negara dilaksanakan,” katanya.

Mahathir melancarkan PPBM Sabah pada 6 Apr, sebulan selepas pengumuman keluar Umno oleh pimpinan parti itu secara beramai-ramai.

Hubungan antara Warisan dan PPBM bagaimanapun menjadi tegang disebabkan kenyataan pemimpin PPBM negeri yang mempersoalkan langkah kerajaan negeri mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing, serta dakwaan terdapat cubaan melobi Pakatan Harapan (PH) untuk memilih calon PPBM bagi PRK Kimanis.

Khairul berkata kritikan terbuka terhadap dasar kerajaan adalah lebih baik daripada terus membisu seperti yang dilakukan Umno sebelum ini.

“Pada akhirnya, apa yang diputuskan oleh pimpinan atau ketua menteri, kami perlu sokong.”

Khairul juga menafikan khabar angin bahawa PPBM akan mensabotaj peluang Warisan pada PRK Kimanis.

“Ini hanya tuduhan liar. Malah, kami begitu bersemangat untuk pergi ke Kimanis dan membantu Warisan.”

Beliau berkata adalah sesuatu yang semula jadi apabila ramai anggota PPBM di Sabah yang sebelum ini merupakan ahli Umno, tidak selesa bekerja dengan Warisan.

“Pada pilihan raya umum lalu, kami menentang mereka, jadi tidak mudah terus menerima keadaan sekarang ini,” kata Khairul.

Khairul mengakui bahawa ahli-ahli tidak berpuas hati apabila pemimpin kanan PPBM tidak diberikan jawatan di negeri itu.

Tetapi beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat permintaan seperti sedemikian.

“Cepat atau lambat, saya percaya, kita akan mendapat tempat dalam kerajaan (negeri). Berikan masa kepada ketua menteri untuk memimpin negeri.

“Sekarang kami hanya menjadi sebahagian daripada kerajaan selama tidak lebih setahun,” katanya.