Walaupun negara bergolak, bapa buta huruf tapi masa depan anak perlu cerah

Dalam keadaan Afghanistan kini dilanda saat kritikal dengan pengeboman di banyak kawasan, pastinya ia menggambarkan suasana yang tidak selamat untuk keluar daripada rumah.

Namun itulah pengorbanan seorang ayah, Mia Khan yang sanggup menaiki motosikal sejauh 12km setiap hari untuk menghantar anaknya ke sekolah dan menunggu beberapa jam di situ sehingga anaknya tamat belajar.

Katanya, dia sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin pendidikan yang baik untuk anaknya nanti walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

“Saya ni buta huruf, dan saya menyara kehidupan dengan upah yang saya dapat setiap hari. Saya nak anak saya mempunyai pendidikan yang baik dan akhirnya menjadi doktor.

“Kerana tiada lagi doktor perempuan yang ada di kawasan kami,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook Swedish Committee for Afghanistan.

The Swedish merupakan sebuah badan amal yang membantu rakyat Afghanistan dengan membina sekolah di wilayah Paktika, dan telah memuat naik kisah Mia Khan ini di laman sosial Facebooknya.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Mia Khan dikatakan akan menghantar anaknya setiap pagi dengan membawa tiga anak yang lain ke sekolah Nooraniya.

Kegigihannya itu sekaligus memperlihat yang dia dan anaknya tidak takut akan serangan yang berlaku walaupun sempadan wilayah Afghanistan kini berada dalam keadaan yang tidak aman.

Salah seorang anaknya, Rozi berkata yang dia gembira serta berasa selamat belajar di sekolah tersebut.

“Saya sekarang berada di gred enam tahun ini, ayah saya atau abang akan membawa motosikal setiap hari ke sekolah dan membawa kami pulang selepas tamat belajar,” kata Rozi.

Kerana keutuhan kasih sayang terhadap anaknya, Mia Khan yang mempunyai tiga orang anak perempuan itu sanggup meletakkan diri dalam risiko dengan membawa anaknya menuntut pendidikan sewajarnya di sekolah tersebut.

Sekolah Nooraniya merupakan sekolah khas perempuan yang mempunyai 220 pelajar keseluruhannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]