Anak Anifah Aman antara 6 nama calon Umno di Kimanis

Anak Anifah Aman antara 6 nama calon Umno di Kimanis

Umno Sabah kini mempunyai kuasa untuk memilih calon pilihan rayanya sendiri selepas diberikan autonomi untuk berbuat demikian dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin mengesahkan 2 anak Anifah Aman termasuk dalam senarai nama calon yang dipertimbangkan untuk PRK Kimanis.
KOTA KINABALU:
Enam nama, termasuk 2 anak penyandang kerusi Parlimen Kimanis Anifah Aman, iaitu Ahmad Firdaus Anifah dan Ahmad Zachry Anifah, berada dalam senarai calon Umno Sabah untuk pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu yang bakal diadakan.

Firdaus merupakan ketua Pemuda Umno Kimanis, sementara adiknya Zachry juga aktif dalam parti tersebut.

Mereka tidak mengikut langkah Anifah meninggalkan Umno pada 19 Sept tahun lepas.

Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin mengesahkan 2 anak Anifah itu termasuk dalam senarai nama calon yang dipertimbangkan untuk PRK Kimanis.

Turut disenaraikan ialah bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan Mohamad Alamin, yang merupakan ketua Umno Kimanis. Beliau adalah bekas pegawai daerah dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bung bagaimanapun enggan menamakan calon lain yang disenaraikan, tetapi sumber parti itu memberitahu, turut disenaraikan ialah pensyarah UMS Saat Ag Damit dan bekas pegawai kerajaan Ahmad Gais.

“Ada 5 hingga 6 nama, tetapi masih belum muktamad. Kami akan mengumumkan calon kami seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada FMT hari ini.

Alamin muncul sebagai calon pilihan kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Adun Bongawan sebelum ini dan dilihat mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Kimanis.

Bongawan adalah satu kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Kimanis.

Pada pilihan raya umum ke-14 Alamin kalah di Bongawan dengan majoriti 795 undi di tangan calon Warisan Daud Yusof.

Alamin dijangka berdepan saingan daripada Firdaus, yang juga terkenal dalam kalangan pengundi Kimanis.

Bagaimanapun tidak banyak maklumat diketahui mengenai adiknya, Zachry.

Umno Sabah kini mempunyai kuasa untuk memilih calon pilihan rayanya sendiri selepas diberikan autonomi untuk berbuat demikian dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Bung yang merupakan ahli Parlimen Kinabatangan berkata, parti itu juga bersikap terbuka terhadap kemungkinan meletakkan Anifah sebagai calon PRK yang bakal diadakan, tetapi “hanya jika Anifah serius mengenainya”.

Anifah yang mewakili Kimanis selama 3 penggal tidak memberi respons terhadap FMT apabila dihubungi berhubung cadangan Umno Sabah itu.

Terdahulu bekas menteri luar itu berkata, beliau perlu berbincang dengan pengundi sama ada akan bertanding dalam PRK selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya supaya dikekalkan sebagai ahli Parlimen Kimanis.

Pada 2 Dis, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada Ogos yang mengistiharkan keputusan pilihan raya Kimanis sebelum ini terbatal dan tidak sah, sekali gus membuka jalan kepada PRK.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan PRK Kimanis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.