Banjir: 3 lagi daerah di Johor terjejas

Berikutan keadaan banjir yang semakin buruk di Johor, jumlah mangsa kini meningkat kepada 1,364 orang daripada 355 keluarga setakat pukul 3 petang, berbanding hanya 171 orang daripada 45 keluarga pada pagi tadi. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Hujan lebat yang berterusan di negeri ini menyebabkan 3 lagi daerah dilanda banjir, menjadikan keseluruhan kawasan yang terjejas setakat ini meningkat kepada 5 daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon dalam kenyataan berkata, 3 daerah baru itu ialah Kulai, Kluang dan Segamat, manakala dua daerah yang terjejas sebelum ini adalah Mersing dan Kota Tinggi.

Katanya, ekoran keadaan yang makin memburuk itu, jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 1,364 mangsa daripada 355 keluarga setakat pukul 3 petang berbanding hanya 171 mangsa daripada 45 keluarga pada pagi tadi.

Semua mangsa kini ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu 9 PPS di Kota Tinggi, 6 (Kluang), 4 (Mersing) dan masing-masing sebuah di Segamat dan Kulai.

Katanya, bencana banjir turut mengakibatkan 5 laluan di 2 daerah ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air dan mengalami tanah runtuh.

Tiga laluan tersebut terletak di daerah Kota Tinggi merangkumi Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong yang kesemuanya berhampiran Kampung Tunjuk Laut.

Dua lagi laluan ialah di Mersing meliputi Jalan Tenggaroh 3 menuju ke Mawai-Kota Tinggi-Sedili serta Jalan Endau Batu 12 ke Rompin.