IJN terima 30 kes sakit jantung setiap hari

Masalah saluran jantung merupakan perkara serius dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar negara. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan seramai 30 pesakit menerima rawatan intervensi koronari perkutaneus (PCI) setiap hari.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata laporan tahunan IJN itu menunjukkan purata 11,000 kes diterima setiap tahun dengan 3.7 juta pesakit sejak penubuhannya pada 1992.

“Hampir 11,000 kes PCI dijalankan setiap tahun iaitu lebih kurang 30 kes setiap hari seluruh negara. Bukan sahaja rakyat Malaysia, ada juga warganegara luar.

“Ini menunjukkan masalah saluran jantung memang perkara serius dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan persidangan ‘Be A Heart Hero’, hari ini

Beliau menambah, trend merokok yang meningkat dalam kalangan anak muda juga membimbangkan termasuk penggunaan rokok elektronik.

“Biasanya untuk lelaki risiko sakit jantung selepas usia 40 tahun dan perempuan selepas 50 tahun tapi risiko mendapat sakit jantung lebih awal kerana merokok.

“Paling muda pesakit saya pernah rawat berusia 29 tahun yang merokok. Kita bimbang perkembangan trend merokok ini,” katanya.

Tambahnya, selain rokok, penyakit diebetes, darah tinggi, kolestrol dan obesiti turut menyumbang kepada risiko penyakit jantung.

Katanya, rakyat perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya dapat mencegah segala penyakit.

“Kita sering lupa untuk jaga kesihatan jantung semasa masih sihat dan bertenaga. Apabila diserang penyakit jantung barulah rasa penting.

“Nasihat saya, dalam hidup kena bersederhana supaya dapat hidup selesa, segar dan sihat selalu. Nikmati makanan anda tapi jangan lupa bersenam dan tidur yang cukup,” katanya.

Menyentuh soal larangan merokok di kedai makan, beliau menegaskan tiada saman satu pun dikeluarkan setakat ini sebagai tempoh pendidikan.

Bagaimanapun, bermula 1 Januari depan, penguatkuasaan akan dijalankan kepada mana-mana individu yang melanggar perintah tersebut.