Kanak-kanak 9 tahun terima tawaran PHD di universiti Amerika Syarikat

Jika kita melihat anak kecil berusia lingkungan tiga ke 11 tahun, mereka akan hanya tahu bermain dengan rakan-rakan sahaja.

Sememangnya itulah dunia sebenar mereka yang penuh dengan keseronokan.

Namun bagi seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, dia bakal menyambung pelajarannya untuk menjadi doktor falsafah (PhD) di Amerika Syarikat (AS) selepas ibu bapanya membuat keputusan mengeluarkannya daripada Universiti Belanda.

Menurut CNN, kanak-kanak lelaki dari Belgium, Laurent Simons ini memiliki tahap kecergasan minda (IQ) luar biasa.

Ibu bapa kanak-kanak genius itu memberitahu bahawa anak mereka akan menyambung pembelajaran tahap PhD di sebuah kolej di Amerika Syarikat dan akan mengambil jurusan kejuruteraan elektrik.

Simons sebelum ini mendaftar di sebuah universiti teknikal Belanda, Eindhoven University of Technology (TUE), tetapi ditarik balik selepas pihak universiti menolak untuk membenarkan Simons tamat pengajian pada waktu yang sepatutnya.

Bapa Laurent, Alexander Simon turut menyifatkan penarikan diri anaknya dari universiti itu adalah sebagai tindak balas terhadap percubaan pihak TUE untuk menghalang anaknya mendaftar di universiti di AS.

“Cara mereka (pihak universiti) melayan pelajarnya adalah tidak betul. Laurent bukan kepunyaan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pihak universiti TUE juga menjelaskan pertikaian di antara mereka dengan menyatakan kanak-kanak lelaki itu masih ditawarkan kursus pengajaran yang dipercepatkan dari tempoh sepatutnya.

“Kami tidak pernah menyekat para pelajar kami. Ia bukanlah suatu motivasi untuk menghalang seseorang.

“Pensyarah yang ditugaskan menjaga kanak-kanak itu sangat gembira dapat bekerjasama dengannya, bukan hanya kerana bakatnya yang besar, tetapi juga kerana dia seorang kanak-kanak lelaki yang baik dan penuh dengan rasa ingin tahu,” kata jurucakap TUE.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]