Kerajaan bakal vaksin pendatang asing

Dr Noor Hisham (2 dari kanan) pada sidang media persidangan ‘Be A Heart Hero’ di Yayasan Jantung Malaysia, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan vaksin kepada pendatang asing bagi mengelakkan wabak penyakit berjangkit seperti yang tercetus di Tuaran, Sabah, minggu lalu.

Kementerian Kesihatan akan melaksanakan langkah itu dengan kerjasama kerajaan Filipina dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi mendapatkan bekalan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendatang asing akan diberi 10 vaksin seperti yang tersenarai dalam program imunisasi kebangsaan.

“Kita akan kerjasama dengan Unicef untuk mendapatkan vaksin yang disubsidikan supaya boleh digunakan untuk pendatang asing.

“Kita juga akan kerjasama dengan Filipina sebab kita di Malaysia tak diberikan dengan harga yang murah untuk vaksin.

“Tapi Filipina dapat harga yang murah jadi kita mungkin akan gunakan perolehan melalui Filipina untuk pendatang tanpa dokumen,” katanya kepada pada sidang media persidangan ‘Be A Heart Hero’ di Yayasan Jantung Malaysia, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, seorang bayi lelaki berusia 3 bulan disahkan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama di negara ini selepas 27 tahun bebas daripada wabak tersebut.

Mengulas lanjut, Noor Hisham mengakui bimbang dengan situasi pendatang yang masuk ke negara ini tanpa saringan terutama di Sabah dan Sarawak.

“Rakyat tempatan kita tak ada masalah tapi yang sekarang ini kita tahu di Sabah dan Sarawak mungkin 20% hingga 30% pendatang yang tak ada dokumen, keluar masuk begitu sahaja dan masuk tanpa saringan.

“Itu yang kita takut, kalau boleh kita nak vaksin anak-anak kita di kawasan Sabah,” katanya.

Menjelaskan mengenai virus polio yang kembali tercetus, Noor Hisham berkata virus itu berasal dari Filipina di mana negara itu masih mengambil vaksin secara oral (OPV) .

“OPV ialah virus polio yang dilemahkan dan virus itu dikeluarkan melalui najis di mana jika sanitasi tak bagus, virus itu bermutasi dan jadi kuat semula.

“Ia akan menjangkiti kanak-kanak yang tak pernah vaksin. Kita dah henti guna OPV sejak 2008 dan guna vaksin polio tidak aktif (IPV) hingga kini,” katanya.

Beliau juga menegaskan pendidikan kesihatan wajar diberikan kepada ibu bapa bagi memastikan semua kanak-kanak di negara ini menerima suntikan vaksin.