Kerjasama Umno-PAS tak jejas peluang BN kekal di Kimanis, kata Bung

Muafakat Nasional dimeterai pada 14 Sept lepas, sekali gus menamatkan persengketaan puluhan tahun antara BN dan PAS.

PETALING JAYA: Kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional memberi kelebihan kepada Barisan Nasional untuk kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata kehadiran parti Islam itu tidak merencatkan sokongan pengundi Kimanis kepada BN, walaupun rakyat negeri itu terdiri daripada pelbagai kaum.

“Umno Sabah akan menggunakan berbagai-bagai isu dan kegagalan kerajaan untuk membawa perubahan kepada Sabah.

“PAS bukan satu halangan untuk Umno Sabah mencapai kejayaan, PAS sudah tentu dapat membantu Umno Sabah dalam kempen dijalankan nanti,” katanya kepada FMT.

Umno Sabah semalam mengesahkan akan meletakkan calon pada PRK Kimanis dan mengenal pasti beberapa nama dan akan diumumkan sebelum penamaan calon.

Bung berkata, BN sudah bersedia berdepan wakil kerajaan termasuk Warisan yang disebut bakal mewakili Pakatan Harapan.

“Umno Sabah telah bersiap sedia untuk berhadapan dalam PRK dan Umno Sabah sudah turun banyak kali ke Kimanis.

“Kita sedar parti pemerintah mempunyai banyak kelebihan, dari segi kuasa, peruntukan, kewangan dan lain-lain.

“Apapun dalam PRK macam-macam boleh berlaku terutama sekali apabila rakyat sudah hilang keyakinan dengan kerajaan, maka tidak mustahil Umno Sabah akan mencapai kejayaan,” katanya sambil memaklumkan BN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang di Sabah.

Sebelum ini, PH Sabah sebulat suara mengumumkan memberi laluan kepada Warisan bertanding di Kimanis.

Mahkamah Persekutuan 2 Dis lalu, menolak rayuan Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Kimanis pada PRU14 lalu tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah, yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dalam persaingan 3 penjuru.

Anifah memperolehi 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim Bujang dengan 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang memperolehi 1,300 undi.