Penganalisis ramal PH tak stabil tanpa PKR, Anwar

Pergolakan kepimpinan melanda PKR selepas Anwar Ibrahim dan Azmin Ali bergeser secara terbuka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan kerajaan persekutuan tidak akan stabil tanpa PKR ataupun Presidennya Anwar Ibrahim, mengatakan parti yang dibina atas semangat reformasi itu tonggak kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata PKR adalah parti terkuat dan tonggak yang membentuk kerajaan PH.

“PKR adalah roh yang menghidupkan gabungan itu, tanpa PKR, PH akan hilang seri dan hilang populariti. Tanpa Anwar, PH juga akan hilang salah satu elemen relevan mereka yang penting.

“Secara matematik tanpa PKR, PH tidak cukup 112 kerusi tapi kalau cukup sekalipun dengan dokongan parti-parti lain di luar PH, kerajaan PH tidak stabil. Malah ia bukan kerajaan yang mewakili manifestasi dan aspirasi rakyat seperti dimemorandumkan pada PRU14 yang lepas,” katanya kepada FMT.

Pergolakan kepimpinan melanda PKR selepas Anwar dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali bergeser secara terbuka, malah pada majlis makan malam penyokong pro-Azmin minggu lalu, mereka secara terbuka mengkritik dan menyerang Anwar.

Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin yang merupakan penyokong kuat Azmin secara lantang mengakui sudah bersedia jika dipecat daripada parti.

Bagaimanapun, Yusri menjangkakan kem Azmin tetap akan bertahan dan memastikan proses transisi jawatan perdana menteri kepada Anwar ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga Kongres Nasional PKR 2021, bagi membolehkan menteri hal ehwal ekonomi itu mencabar jawatan presiden PKR.

Sementara itu, Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata jika PKR berpecah kepada 2, PH perlu memutuskan untuk menerima kedua-duanya atau sebaliknya.

“Jika betul akan ada 2 kumpulan nanti, PH perlu putuskan nak terima siapa. Kumpulan Azmin atau Anwar, tapi kalau PH ok terima dua-dua kumpulan dalam gabungan, teruskan.

“Tapi PH tak boleh teruskan gabungan kerajaan tanpa PKR kecuali PH boleh buat gabungan baru,” katanya.

Sekiranya pergeseran Anwar dan Azmin tidak diatasi segera, katanya, ia bukan memberi kesan kepada parti sebaliknya kepada negara.

“Kalau dah tak boleh duduk serumah kena buat keputusan, salah seorang kena pergi sebab tak bagus untuk negara, tengok menteri-menteri bergaduh.

“Tak boleh heret lama sangat. Rakyat tak yakin malah pelabur pun takut. Kalau boleh jumpa jalan berdamai, jika tidak PKR perlu pecat atau Azmin perlu keluar bawa haluan politik sendiri.”