Proses ambil alih tanah Highland Towers tidak siap tahun ini, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berucap pada majlis sambutan Hari Krismas peringkat negeri Selangor malam ini.

KLANG: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengesahkan proses ambil alih tanah tapak Highland Towers tidak dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini memandangkan kerajaan Selangor masih meneliti beberapa dokumen berkaitan.

Amirudin berkata, hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk melihat Highland Towers dirobohkan bagi pembangunan taman rekreasi hanya akan dapat dilakukan pada tahun hadapan.

“Kita sudah dapat surat (daripada KPKT) bulan lepas, kita sedang uruskan di peringkat kerajaan negeri kerana ia membabitkan beberapa proses yang melibatkan Pejabat Tanah dan Galian, serta beberapa pihak lain berkaitan.

“Kita memang hendak bekerjasama erat dengan kerajaan persekutuan, khususnya KPKT bagi membangunkan semula kawasan itu dan menyediakan perumahan untuk rakyat di negeri ini.

“Memang mengambil masa sedikit kerana kita perlu mengambil masa antara 3 hingga 4 bulan. Kita baru sahaja dapat surat itu pada November lepas,” katanya sewaktu ditemui di majlis sambutan Hari Krismas peringkat negeri Selangor di sini, malam ini.

Pagi tadi, Zuraida berharap kerajaan Selangor dapat mempercepatkan kelulusan untuk mendapatkan tapak Highland Towers selepas bangunan berkenaan terbiar sejak 26 tahun lalu.

Zuraida berkata, kementeriannya pada ketika ini hanya perlu mendapatkan kelulusan Amirudin bagi memulakan proses pembangunan semula tapak berkenaan dan berharap pengumuman itu dapat dibuat sebelum penghujung tahun ini.

Amirudin berkata, beliau sendiri sudah bertemu dengan Zuraida bagi membincangkan dan menjelaskan perkara berkenaan.

Baginya, proses pengambilalihan tanah tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Proses melibatkan tanah ini adalah satu proses yang kita tidak mahu langgar, kita ikut prosedur. Kita juga perlu bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Namun saya yakin kita boleh laksanakan pada 2020,” katanya.

Pada Mac, ahli Parlimen Ampang itu menjangkakan Highland Towers akan dirobohkan selewat-lewatnya Jun tahun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan berkenaan.

Pada Ogos tahun lalu, selepas dilantik sebagai menteri Kabinet Zuraida antaranya mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Dis 1993, 1 daripada 3 blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.