Serah urusan kesihatan kepada Sabah, Sarawak, kata badan pemikir

Ketua eksekutif Pusat Galen Azrul Mohd Khalib berkata, Sabah dan Sarawak harus diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai projek infrastruktur bagi memperbaiki kemudahan kesihatan dan penempatan pegawai perubatan profesional. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial hari ini menggesa kerajaan persekutuan menyerahkan kawalan ke atas perkhidmatan kesihatan kepada negeri di Malaysia Timur seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya ke-14 Pakatan Harapan (PH).

Badan pemikir bebas itu, yang memfokus kepada perbincangan mengenai isu kesihatan dan sosial berkata, penduduk Malaysia Timur mahu kuasa membuat keputusan berhubung hal-ehwal kesihatan dikembalikan kepada kerajaan negeri mereka.

Galen menganjurkan satu persidangan kesihatan bertajuk “Penjagaan Kesihatan di Malaysia Timur: Memastikan tiada yang tertinggal”, di Kuching hari ini.

Dalam satu kenyataan, ketua eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata, daripada perbincangan yang berlangsung dalam persidangan hari ini jelas bahawa penduduk Sarawak dan Sabah mahu membuat keputusan sendiri berhubung isu kesihatan.

“Memberikan autonomi penjagaan kesihatan kepada rakyat Sarawak dan Sabah merupakan antara batu asas janji manifesto kerajaan PH,” kata Azrul.

Janji 44 manifesto PH, iaitu Memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan” menyebut, “kerajaan Sabah dan Sarawak akan diberi hak membuat keputusan dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan”.

Memfokus kepada akses, liputan dan kualiti khidmat kesihatan di Sarawak dan Sabah, persidangan itu juga bertujuan memastikan Rancangan Malaysia ke-12 akan memberi lebih perhatian kepada keperluan rakyat di negeri ini.

Persidangan berkenaan juga menyentuh isu merapatkan jurang infrastruktur, memperbaiki kualiti rawatan dan akses kepada rawatan penyakit barah di Malaysia Timur.

Azrul menggesa supaya Rancangan Malaysia ke-12 memberi keutamaan kepada pelaburan dalam infrastruktur kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, lebih satu pertiga penduduk di 2 negeri ini terus hidup dalam jarak lebih 5km dari kemudahan kesihatan dan terpaksa mengambil masa beberapa jam bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, saiz Malaysia Timur dan taburan penduduknya yang merata merupakan masalah unik dalam penyediaan khidmat penjagaan kesihatan yang berkesan.

“Wujud keperluan kepada lebih banyak kemudahan infrastruktur kesihatan di kawasan luar bandar dan pengukuhan perkhidmatan sedia ada.

“Paling penting, ia mesti diisi dengan kakitangan kesihatan yang mahir dan mencukupi.

“Tidak wujud penyelesaian tunggal atau mudah kepada cabaran yang banyak ini.

“Jelas juga bahawa kita perlu mencari penyelesaian di luar kotak kerana cara biasa yang diamalkan sekarang tidak memadai. Penduduk di 2 negeri ini tertinggal di belakang.

Azrul berkata, Sabah dan Sarawak harus diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai projek infrastruktur bagi memperbaiki kemudahan kesihatan dan penempatan pegawai perubatan profesional.