Taman tema terbesar akan dibuka di Moscow tahun depan

Dream Island yang mempunyai 8 zon mewakili perbezaan rantau dunia turut menempatkan watak hero global seperti Smurfs, Ninja Turtles, Hello Kitty, Hotel Transylvania, Mowgli, Dream race, Istana Snow Queen dan Magic Village akan dibuka di Moscow Feb depan. (Gambar Twitter)

MOSCOW: Taman tema terbesar yang bakal menjadi destinasi pulau impian di Eropah akan dibuka di ibu negara Rusia pada hujung Feb depan.

Direka bagi menempatkan 20,000 orang pada satu-satu masa, taman yang dikenali sebagai Dream Island bakal menjadi destinasi pelancongan keluarga.

Projek bernilai AS$1.5 bilion dibina dengan penyertaan syarikat Turki, Ronesans Holding, kata pengarah teknikal Dream Island kepada agensi berita Anadolu.

“Taman tema ini adalah yang terbesar di Rusia dan menjadi taman dalam dewan terbesar di Eropah. Tiada taman seumpama di Scandinavia. Taman tema dalam dewan yang paling hampir adalah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Semua tarikan di sini unik dan dibina khas untuk Dream Island. Kami amat berbangga dengan segala yang disediakan di sini,” kata Scholl.

Taman itu yang dibina di pulau kecil berhampiran pusat bandar Moscow, direka seperti sebuah taman dengan lembah di tengah dengan hujungnya ditempatkan buaian berpusing dan 4 medan yang dihiasi lanskap menarik.

Setiap medan dibina dengan struktur menyerupai jalan raya di 4 bandar raya dunia iaitu Barcelona, Beverly Hills, London dan Rome.

“Secara umum ia adalah sebuah bandar sebenar kecuali ia mempunyai atap kaca. Ini kerana kami mahukan pelancong berasa selesa dalam semua keadaan cuaca dan musim. Secara keseluruhan, sebanyak 8,600 meter persegi kaca digunakan dan terbesar di Eropah.

Dream Island mempunyai 8 zon yang mewakili perbezaan rantau dunia dan disulami hero global seperti smurfs, Teenage Mutant Ninja Turtles, Hello Kitty, Hotel Transylvania, Mowgli di Bumi Dinosaur, Dream race, Istana Snow Queen dan Magic Village serta teater boneka dan rumah hantu.

Scholl berkata, Dream Island memberi perhatian khusus terhadap ciri keselamatan sejajar dengan aspek keselamatan Rusia dan antarabangsa.