Warisan belum tentu calon di Kimanis, kata Shafie

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu akan meneliti calon sesuai bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis, termasuk memastikan kemampuan memberikan kemenangan.

PAPAR: Parti Warisan Sabah belum menentukan calon yang akan mewakili parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis kelak.

Presidennya Mohd Shafie Apdal, berkata Warisan akan meneliti terlebih dahulu calon sesuai untuk diletakkan bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis, termasuk memastikan calon dipilih mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Kita tengok dulu siapa akan jadi calon, yang penting calon ini boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Krismas anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia di Kampung Kelatuan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony yang juga presiden KDM Malaysia.

Pada pilihan raya umum Ke-14, calon Warisan Karim Bujang yang juga ketua Warisan Kimanis tewas tipis 156 undi kepada Anifah Aman.

Karim kemudiannya memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Suruhanjaya Pilihan Raya kini menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengadakan PRK Parlimen Kimanis yang kosong susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Shafie berkata, Sabah akan membentangkan satu Rang Undang-Undang baru bagi menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri susulan pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan Sabah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.

Katanya, suruhanjaya itu bertujuan memperkasa tahap urus tadbir dalam pengurusan bekalan serta pengedaran gas dan elektrik di negeri Sabah.

“Ia (Suruhanjaya Tenaga Sabah) akan menentukan bagaimana pengurusan harga (elektrik serta gas) dan penentuannya (harga dan kadar) tertakluk kepada suruhanjaya ini nanti,” tambahnya.

Mohd Shafie berkata, penubuhan suruhanjaya tenaga Sabah penting memandangkan bidang kuasa pengurusan SESB akan tertakluk kepada kerajaan negeri selepas proses pengambilalihan syarikat utiliti itu selesai.