59 kanak-kanak bukan warganegara di Sabah terima vaksin polio

KKM menegaskan cara terbaik mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seramai 59 kanak-kanak bukan warganegara di Tuaran, Sabah menerima suntikan vaksin polio susulan kes seorang bayi lelaki berusia 3 bulan dijangkiti virus polio, minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun itu berada di kawasan berhampiran tempat tinggal bayi terbabit.

“Aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi ini bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

“Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun di kawasan tersebut yang tercicir imunisasi diberikan vaksin polio. Semua mereka ini merupakan kanak-kanak bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, seorang bayi lelaki berusia 3 tahun disahkan dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama di negara ini selepas 27 tahun bebas daripada wabak tersebut.

Menurut Noor Hisham, bayi tersebut masih dirawat di bilik isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil serta masih diberi bantuan pernafasan.

Beliau juga menjelaskan sehingga semalam tiada kes polio baru dikesan selepas menjalankan langkah pencegahan dan kawalan.

“Seramai 1,553 orang diperiksa dan tiada gejala kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) dikesan.

“Pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan juga diteruskan di 6 loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah dan sehingga kini tiada virus polio dikesan,” katanya.

Pihaknya juga sedang menunggu keputusan makmal daripada sampel najis 20 individu yang rapat dengan bayi tersebut.

Katanya, pemberian imunisasi tambahan kepada semua kanak-kanak berumur bawah 5 tahun akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

“Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan ini akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa memastikan anak-anak mereka yang tercicir vaksin segera dibawa ke klinik kesihatan berhampiran.

“Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menekankan bahawa cara terbaik untuk mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi. Penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan.

“Penjadualan semula imunisasi bagi kanak-kanak cicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian,” katanya.

Semalam beliau mengumumkan kerajaan akan bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi mendapatkan bekalan vaksin disubsidi untuk program imunisasi kepada bukan warganegara di Sabah.

Kerajaan juga akan memantapkan kerjasama dua hala dengan kerajaan Filipina termasuk program imunisasi bagi warganegara negara tersebut yang berada di Sabah.