9 ditahan selepas 51 maut dalam gempa bumi Albania

Gempa bumi Albania mengorbankan 51 orang, bulan lalu. (Gambar AF)

TIRANA: Seramai 9 individu ditahan Sabtu lalu di Albania selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penyalahgunaan kuasa susulan gempa bumi yang mengorbankan 51 nyawa, bulan lalu.

Pendakwa raya berkata 17 individu, termasuk jurubina, jurutera dan pegawai, disyaki melanggar peraturan bangunan yang menyebabkan berlakunya runtuhan semasa gempa bumi 6.4 magnitud pada 26 Nov.

Lapan suspek masih diburu pihak polis.

Ketua Polis kota pelabuhan Durres, Lorenc Shehu, berkata siasatan awal mendapati terdapat keadaan tidak simetri yang menjadi punca bangunan itu runtuh yang membunuh 23 orang.

Durres dan Thumane di utara Tirana, dilanda gempa bumi yang turut menyebabkan kira-kira 900 orang cedera dan 5,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Antara yang ditahan ialah seorang jurutera yang terlibat dengan pembinaan salah sebuah bangunan di Durres di mana 8 sekeluarga meninggal dunia.

Pembinaan bangunan secara haram berleluasa di Albania, di mana perkembangannya semakin pesat selepas kejatuhan komunisme pada 1990.

Banyak bangunan tidak mempunyai permit yang betul dan tidak mematuhi kod keselamatan.

Gempa bumi itu adalah yang paling dahsyat dalam beberapa dekad di Albania, yang terletak berhampiran garisan plat tektonik.