Berang tak pakai niqab, pendakwah Saudi baling wanita dengan kasut

Tangkap layar menunjukkan seorang pendakwah membalingkan kasutnya ke arah seorang wanita yang tidak memakai niqab.

PETALING JAYA: Seorang pendakwah Arab Saudi didakwa membaling kasut kepada seorang pejalan kaki kerana tidak berpuas hati wanita tersebut tidak memakai niqab.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, kelihatan seorang pendakwah yang berdiri di pembahagi jalan membalingkan kasut kepada seorang wanita yang lalu berdekatan dengannya.

“Jika seorang wanita mendedahkan wajahnya dan membenarkan lelaki mencium wangiannya, dia adalah seorang penzina.

“Seperti keadaan wanita ini,” katanya sambil menuding jari terhadap wanita yang bertudung dan memakai abaya.

Dia kemudian mengambil kasut dan membalingnya ke arah wanita terbabit. Mangsa kedengaran menjerit terkejut sebelum video itu terpotong.

Menurut undang-undang kontroversi Arab Saudi, wanita dikehendaki memakai abaya dan berniqab di khalayak ramai.

Media tempatan melaporkan anggota keselamatan di wilayah Yanbu telah menahan pendakwah terbabit dan mendakwanya.

Menurut sumber, pendakwah tersebut mengalami “penyakit mental” dan pernah membuat serangan sedemikian pada masa lalu.