Mangsa banjir di Johor meningkat 3,835 orang

Hujan lebat berterusan menyebabkan Batu Pahat turut dilanda banjir. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Hujan lebat berterusan sejak 2 hari lepas menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor mengalami peningkatan mendadak kepada 3,835 orang melibatkan 1,054 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,853 orang daripada 770 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan sebuah lagi daerah iaitu Batu Pahat turut dilanda banjir, menjadikan keseluruhan daerah yang terjejas meningkat kepada 7.

Bagaimanapun, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kluang iaitu Balai Raya Kampung Melayu Batu Empat Paloh ditutup sepenuhnya pada 9 malam tadi.

Menurutnya semua mangsa yang terjejas ditempatkan di 52 PPS iaitu 13 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, 20 di Kluang, 6 di Segamat dan masing-masing 1 di Kulai, Muar dan Batu Pahat.

“Daerah Mersing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,262 orang daripada 352 keluarga diikuti Kota Tinggi dengan 1,071 orang daripada 267 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain itu, di Kota Tinggi 4 jalan yang terjejas masih tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong dan Jalan Kampung Mawai Lama.

Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di daerah Mersing dan Kota Tinggi manakala, amaran cuaca buruk pula di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak sehingga hari ini.