MTUC: Lindungi penjawat awam daripada ketidakadilan menteri

Cuepacs menolak dakwaan wujud ‘daulah terpendam’ dalam kalangan penjawat awam yang menyebabkan mereka mensabotaj pentadbiran kerajaan PH.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa penjawat awam diberikan perlindungan daripada tindakan tidak adil oleh mana-mana menteri.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, wujud beberapa kes menteri mengikut perasaan dan mengambil tindakan tidak adil terhadap pegawai kanan tertentu, termasuk bertindak memindahkan mereka dengan serta-merta.

“Ada pegawai tinggi yang di “cold storage” iaitu, dikurangkan kuasa dan tanggungjawab sehingga mengekang kerjaya mereka.

“Saya nampak ada keperluan untuk memberi keadilan kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada menteri tertentu yang menggunakan kuasa dengan sewenang-wenang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini tanpa mendedahkan nama menteri berkenaan.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata tidak wujud “daulah terpendam” dalam kalangan penjawat awam yang menyebabkan mereka mensabotaj pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha agungnya, Adnan Mat berkata isu sebenar yang melibatkan penjawat awam dengan kerajaan PH ialah masalah komunikasi.

“Daulah terpendam” ialah istilah merujuk kepada gerakan individu atau kumpulan yang beroperasi secara rahsia untuk mensabotaj kerajaan.

Isu “daulah terpendam” muncul tidak lama selepas PH berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.

Kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) dinyatakan sebagai antara punca berlaku kegiatan sabotaj dalam kalangan kakitangan awam.

Tidak lama selepas membentuk kerajaan, PH bertindak melakukan beberapa perubahan jawatan membabitkan pegawai kanan. Bagaimanapun, masalah itu dipercayai belum dapat ditangani sepenuhnya.

Tambah Solomon, ruang untuk penjawat awam mendapat pembelaan buat diri mereka pada ketika ini adalah agak terhad, khususnya dalam isu yang melibatkan kuasa menteri.

“Tidak seperti pekerja swasta, penjawat awam tidak mempunyai Perjanjian Bersama (CA) dengan kerajaan yang boleh dijadikan rujukan untuk menuntut keadilan.

“Ini perlu diperbetulkan kerana hak asasi pegawai tinggi harus diperlihara.

“Buat masa ini, mereka tidak berpeluang membela diri dan terpaksa akur kepada arahan menteri,” katanya.

Solomon menambah, mekanisme yang dicadangkan bagi membela nasib penjawat awam harus mewajibkan menteri memberikan asas di sebalik tindakan yang diambil terhadap pegawai berkenaan.

“Saya sendiri mengetahui kes seorang pegawai yang berdedikasi menjalankan kerja di pindahkan dalam tempoh 24 jam atas alasan kesihatan, tanpa memberinya ruang untuk pulih daripada serangan angin ahmar.

“Baru-baru ini, pegawai ini setelah dipindahkan, menerima pujian dari pelbagai pihak tempatan dan delegasi antarabangsa kerana kecekapan mempengerusikan sebuah persidangan dengan badan antarabangsa,” katanya.