NGO gesa tindakan tegas terhadap MP enggan isytihar harta

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel.

PETALING JAYA: NGO anti rasuah hari ini menggesa tindakan punitif terhadap ahli parlimen yang enggan mengisytiharkan harta mereka, mengatakan Perintah Tetap “tidak cukup kuat” untuk memaksa wakil rakyat tersebut berbuat demikian.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata hanya 160 daripada 222 ahli Parlimen – 139 dari Pakatan Harapan – mengisytiharkan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehingga 5 Dis.

Ia berlaku walaupun Perintah Tetap akan merujuk ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan aset mereka kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan masa tambahan 2 bulan diberikan kepada mereka.

“Jelas, Perintah Tetap sahaja tidak cukup kuat untuk memaksa ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka sebagai sebahagian akauntabiliti mereka sebagai penggubal undang-undang.

“C4 percaya tindakan punitif sebenar mesti dikenakan terhadap mereka yang enggan mematuhi keperluan itu,” kata Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan.

Cynthia berkata inilah sebabnya mengapa C4 menggesa pengisytiharan aset dikanunkan, dan tindakan punitif dinyatakan dengan jelas.

Apabila ia dikanunkan, beliau berkata, kaedah pengawalseliaan yang betul dengan tindakan punitif akan digariskan dengan jelas.

Beliau berkata, kerajaan harus memastikan undang-undang baru itu terpakai kepada penggubal undang-undang dan pegawai awam di semua peringkat dalam kerajaan supaya pengisytiharan aset diumumkan.

Cynthia juga menyeru speaker Dewan Rakyat menggantung ahli Parlimen yang enggan mengisytiharkan aset mereka, sambil berkata tamabahan masa 2 bulan itu menunjukkan “banyak kelonggaran kepada Ahli Parlimen yang bersalah”.