Pengimport minyak sawit India dijangka kembali ke pasaran Malaysia Jan depan

Pakar berkata, India akan terus membeli minyak sawit dari Malaysia kerana pengeluaran minyak boleh dimakan tempatan negara itu tidak mencukupi.

KUALA LUMPUR: Pengimport India dijangka kembali semula ke pasaran Malaysia pada pertengahan Januari tahun depan berikutan jangkaan pengeluaran rendah pada suku akan datang, kata seorang pakar industri minyak sawit M R Chandran.

Beliau berkata, pengimport India masih memerlukan minyak sawit kerana fungsi unik serta kualiti teknikalnya serta bagi menampung peningkatan permintaan dan mengekalkan paras inventori mereka.

“Sudah tentunya pada harga niaga hadapan semasa minyak sawit mentah (MSM) hampir setara dengan minyak kacang soya (SBO). Secara tradisinya MSM dijual pada diskaun AS$100+ setan metrik. Sewajarnya, pengimport India akan beralih kepada minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

“Ini adalah kebimbangan jangka pendek. Menjadi suatu yang normal semasa musim sejuk India, China dan Eropah akan mengurangkan import minyak tropika bagi makanan.

“Keutamaan adalah bagi minyak seperti kacang soya dan bunga matahari,” katanya.

Chandran berkata pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia menegaskan beberapa hari lepas bahawa tidak ada sebarang arahan daripada kerajaan India untuk memboikot minyak sawit Malaysia.

“India tidak akan berhenti membeli minyak sawit dari Malaysia kerana pengeluaran minyak boleh dimakan tempatan mereka tidak mencukupi.

“Negara itu (India) akan terus menjadi destinasi eksport utama bagi minyak sawit Malaysia kerana terdapat perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara yang akan mengurangkan kadar tarif bagi minyak sawit ditapis kepada 37.5 peratus pada 2020,” katanya.

Selain itu Chandran berkata, memandangkan kemudahan logistik dan perkhidmatan kewangan Malaysia adalah jauh lebih maju daripada Indonesia, peniaga dan broker India akan terus membeli daripada pembekal di sini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif United Plantations Bhd Carl Bek-Nielsen berkata, kenaikan baru-baru ini menyaksikan harga minyak sawit meningkat dengan sangat ketara dan ini boleh menjejaskan sementara permintaan.

“Meskipun India adalah pengimport terbesar minyak sawit pada hari ini, pasaran itu juga sangat senstitif kepada harga atau dengan kata lain, permintaan adalah mengikut keanjalan harga.

“Bagaimanapun saya melihat dunia kini mengalami kekurangan pengeluaran yang serius dan bekalan minyak sawit,” katanya.

Bek-Nielsen berkata, faktor ini digabungkan dengan ciri-ciri serba boleh dan sihat minyak sawit, akan lambat laun menyebabkan India menperbaharui importnya kerana jurang bekalan tidak boleh ditampung oleh minyak bijian, minyak bunga matahari atau minyak kacang soya.

“Jadi saya optimistik,” katanya.